Tuesday, July 9, 2013

Tersirat Dan Tersurat Ramadhan

Tersirat Dan Tersurat Ramadan
By  | July 8, 2013 at 1:54 pm | No comments | Dakwah & Motivasi
Tersirat Dan Tersurat Ramadan
Apabila hampir sahaja dengan bulan Ramadan. Pasti orang-orang beriman akan berasa seronok dengan
kehadiran Ramadan. Ini kerana, Ramadan adalah bulan yang dijanjikan oleh Allah SWT sebagai sebaik-baik
bulan. Di dalamnya terdapat banyak kelebihan sama ada yang tersurat mahupun yang tersirat.
Sebab itu, jika kita lihat contoh teladan yang ditunjukkan oleh para ulama silam. Mereka akan membuat
persediaan yang amat rapi untuk menghadapi bulan yang tersirat seribu kebaikan itu.
Justeru, semua kelebihan dan kebaikan itu jika kita hayati dengan baik, ia adalah penghubung bagi 
seseorang kepada kejayaan. Semua daripada kita tidak menafikan bahawa kejayaan dan kecemerlangan
 adalah bermula dari dalam diri kita iaitu daripada kebersihan, keikhlasan dan kekuatan jiwa.
Jika kejayaan itu hanya diukur secara zahir, ia tidak akan kekal lama. Lihat sahaja tamadun manusia yang
 maju. Apabila berpindah saja tangan kepada insan yang dalamannya lalai dan leka. Tamadun tersebut akan
 ranap dengan sekelip mata.
Justeru, orang yang paling mulia di sisi Allah ialah mereka yang paling bertakwa. Hal ini berdasarkan kepada
 firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 13, maksudnya,
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah
 menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra
 antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih 
takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui,
 lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Sahabat Nabi SAW iaitu Abdullah Bin Mas’ud pernah mengulas mengenai takwa, katanya, “Takwa ialah
 taat. Tidak melakukan maksiat. Ingat kepada Allah SWT selalu. Tidak melupakan-Nya. Bersyukur dan tidak 
ingkar kepada-Nya.”
Oleh itu, ini adalah ciri-ciri asas yang akan menjamin kejayaan. Jika kita perasan, inilah yang ingin dihasilkan 
melalui ibadah puasa. Ini kerana, puasa ingin meningkatkan kualiti takwa di dalam diri seseorang 
sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran,
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang
 yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (al-Baqarah: 183)
Justeru, kejayaan tidak boleh dipisahkan daripada ketakwaan dalam hati.
Jelas Imam al-Ghazali dalam karyanya ‘Ihya Ulumuddin’, “Puasa mempunyai tiga tingkatan. Tingkat terendah,
 iaitu puasa umum. Ia hanya menekankan aspek supaya menjauhkan diri daripada perbuatan-perbuatan zahir
yang boleh membatalkan puasa, seperti makan dan minum.
Tingkat kedua dikenali sebagai puasa khusus. Mereka yang berada pada tingkat ini, tidak hanya meninggalkan 
hal-hal yang boleh membatalkan puasa. Malah mereka juga menjauhkan diri daripada perkataan, pendengaran,
 penglihatan serta tindak-tanduk yang boleh mencacatkan pahala puasa.
Manakala tingkat yang tertinggi pula ialah puasa untuk golongan khusus daripada yang khusus. Puasa ini 
juga dikenali sebagai puasa hati. Ini kerana, mereka yang berada pada tingkat ini banyak berzikir kepada 
Allah SWT. Mereka juga mengawal hati daripada dicerobohi cita-cita dan kehendak duniawi yang memperdayakan.”
Bagi mencapai tujuan yang ada di sebalik ibadah Ramadan. Dua rukun utama perlu dijaga terlebih dahulu:
1) Niat puasa.
Niat adalah membawa maksud matlamat. Islam amat menitik beratkan soal matlamat di dalam 
ibadah. Jika matlamat seseorang itu jelas, pasti hala tujunya juga jelas. Sebab itu, ketika Ramadan kita
 diwajibkan untuk berniat puasa.
Ia adalah bertujuan untuk memasang matlamat bahawa kita beramal tidak lain dan tidak bukan hanya 
kerana Allah SWT. Apabila matlamat dan tujuan kita jelas, maka kita akan sanggup berkorban untuk 
Tuhan yang menciptakan kita walaupun secara zahirnya hal itu membebankan.
2) Menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa. Ia bermula dari terbit fajar sehingga
 tenggelam matahari. Justeru, antara yang wajib dijauhi ialah pengambilan makanan dan
 minuman, serta memuaskan nafsu seks.
Selain itu, perbuatan-perbuatan keji dan sia-sia seperti maki hamun, mencarut, mengumpat, memfitnah, dan
 seumpamanya perlu dijauhi.
Sebenarnya, apabila kita berpuasa, kita akan menjadi lapar. Ketika itu, nafsu dan keinginan menjadi lemah, maka
 mudahlah bagi kita untuk mendisiplinkan diri dengan beribadah kepada Allah SWT. Keinginan untuk melakukan
 dosa dan kejahatan juga akan menjadi lemah.
Di samping itu, ditambah lagi dengan amalan-amalan yang amat dianjurkan oleh agama ketika Ramadan. 
Antaranya adalah:
Memperbanyakkan doa
Kata Nabi SAW, “Tiga keadaan yang tidak ditolak doa mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga berbuka,
 pemerintah yang adil dan orang yang dizalimi.” (Riwayat Tirmizi)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW berkata, “Sesungguhnya untuk orang yang berpuasa, waktu berbukanya adalah
 waktu doa yang tidak ditolak.” (Riwayat Ibnu Majah)
Memperbanyakkan membaca al-Quran
Kata Abdullah bin Abbas, “Jibrail menemui Nabi pada setiap malam dalam bulan Ramadan bagi bertadarus. 
Ketika ditemui Jibrail, beliau lebih cepat mengerjakan kebaikan, lebih cepat daripada angin yang berhembus.”
Memperbanyakkan sedekah
Anas bin Malik ada merekodkan, Nabi SAW ditanya, “Sedekah manakah yang lebih utama?” Baginda menjawab,
 “Sedekah pada bulan Ramadan.” (Riwayat Tirmizi)
Menunaikan solat sunat tarawih pada malam hari secara berjemaah untuk lelaki dan wanita. Nabi SAW berkata, 
“Siapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan, dan mengharapkan ganjaran daripada 
Allah, lalu diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat Bukhari)
Kita boleh menghidupkan malam Ramadan dengan pelbagai jenis ibadah yang kita mampu buat, seperti solat
 berjemaah, bertadarus al-Quran, solat sunat, beristighfar, berzikir dan lain-lain.
Semua amalan ini boleh menambahkan lagi nilai diri kita di sisi Allah SWT.
Sebenarnya didikan puasa ini melatih seseorang untuk bersabar dan menjadi pengurus masa yang baik. 
Ya, hal ini dipraktikkan di dalam bulan Ramadan.
Ketika puasa, seseorang itu perlu bersabar daripada mengikuti hawa nafsu. Perlu menjaga ketepatan 
masa seperti kewajipan puasa bermula dengan masuknya waktu subuh sehingga masuknya waktu maghrib pada
 setiap hari selama sebulan.
Apabila seseorang itu berbuka puasa seminit lebih awal sebelum waktu maghrib, puasanya akan batal. 
Demikian juga, apabila masuknya waktu subuh adalah pada jam 6.15 pagi. Namun, jika seseorang itu masih 
makan lagi pada jam 6.16 pagi, puasanya akan batal.
Oleh itu, kesan daripada semua ini, umat Islam dilatih untuk menjadi golongan yang mementingkan ketepatan 
masa dalam kehidupan mereka. Justeru, penekanan kepada takwa, ibadah, kawalan hawa nafsu, sabar,
 kedermawanan dan pengurusan masa sudah pasti dapat melahirkan kejayaan dalam kehidupan seseorang.
Apabila tercapai semua objektif ini, maka mudahlah bagi kita untuk menempuh bulan-bulan yang mendatang. 
Inilah hasil yang agama mahu apabila keluar sahaja daripada kursus atau didikan tarbiah Ramadan.

No comments:

Post a Comment