Sunday, July 21, 2013

Hikmah Bersahur


Rasulullah SAW amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu.


Sabda Baginda SAW: “Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan.” [HR: al-Bukhari dan Muslim].
Maksud keberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut.
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani RA:
"Keberkatan sahur itu  diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyalahi ahli kitab (Yahudi dan Nasrani yang tidak bersahur), menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur.”
Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab).Sabda Rasulullah SAW:
“Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur.” [HR: Muslim].
Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu agung sehinggakan Allah SWTmelimpahkan rahmat dan malaikatNya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur. Oleh itu, Nabi SAW amat menitik beratkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air.Sabda  Baginda SAW:
“Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur.”  [HR  Imam AhmadSahih al-Jami‟: “Hasan”].
Adalah disunatkan juga untuk melewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa‟ad RA berkata:
"Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian aku pun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah SAW.”  [HR: Al-Bukhari].
Qadi  „Iyadh RA berkata:
 "Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar.”[Dinukil dari Fathul-Bari.]
Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kirakira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan. Menurut Anas RA, Zaid bin Thabit RA berkata:
“Kami makan sahur bersama Nabi SAW, kemudian Baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) lima puluh ayat.” [HR: Al-Bukhari].

Antara hikmah mengakhirkan sahur adalah:


1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.


2. Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

Hikmah lain bersahur adalah:

  1. Dapat mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW.
  2. Dapat menjauhi amalan puasa bangsa yahudi,  yang berpuasa tanpa sahur.
  3. Membekalkan tenaga untuk beribadat kepada Allah SWT.
  4. Meningkatkan keikhlasan untuk beribadat kepada Allah SWT.
  5. Menghilangkan perasaan marah ketika beribadat.
  6. Doa semasa bersahur amat mustajab di sisi Allah SWT.
  7. Semasa bersahur kita akan mengingati Allah SWT kerana kita bangun bersahur sebagai permulaan melakukan  ibadat kepada Allah SWT.
Sumber Kitab Fadhail A’mal.

No comments:

Post a Comment