Friday, March 2, 2018

CABARAN DAKWAH KHULAFA AR-RASYIDIN : ABU BAKAR AS SIDDIQ

Tazkirah Jiwa Siri 475

CABARAN DAKWAH KHULAFA AR-RASYIDIN : ABU BAKAR AS SIDDIQ (Siri 14)

NABI PALSU DIPERANGI

Seorang wanita bernama Sajah binti Harits bin Suwaid bin Aqfan al-Taghlabiyah telah mengaku menjadi seorang nabi. Sajah yang berasal dari kalangan Nasrani ini menguasai Bani Taghlab dan sebahagian kelompok Bani Tamim. Tidak semua dari kelompok Bani Tamim mengikut Sajah namun ada pemimpin Bani Tamim yang menyertainya iaitu Malik bin Nuwairah. Wanita ini dan pengikutnya mempunyai cita-cita untuk menyerang Khalifah Abu Bakar.

Pada masa yang sama Sajah bersama pasukan tenteranya menuju ke Yamamah untuk menyerang seorang lagi nabi palsu iaitu Musailamah al-Kadzdzab untuk menguasai wilayahnya. Para tentera Sajah pada awalnya agak gentar untuk menghadapi Musailamah di Yamamah kerana pasukan tentera beliau juga agak kuat. Namun Sajah berjaya mempengaruhi para tenteranya bahawa mereka boleh menang dalam pertempuran ini.

Musailamah telah mendapat berita tentang pasukan tentera Sajah yang sedang menuju ke Yamamah. Beliau juga merasa gentar apabila mengetahui pasukan tentera Sajah datang dalam jumlah yang ramai. Sedangkan Musailamah pula tengah sibuk bersiap sedia untuk menghadapi tentera muslimin yang dipimpin oleh Tsumamah bin Atsan dengan dibantu oleh Ikrimah bin Abu Jahal yang dalam perjalanan menyerangnya. Akhirnya Musailamah membuat tawaran damai dengan Sajah dan menawarkan sebahagian dari wilayah Yamamah diberikan kepadanya sekiranya beliau mahu berdamai. Telah berlaku pertemuan Sajah dan Musailamah dan  tawaran ini dipersetujui oleh Sajah dengan senang hati.

Para ahli sirah mengatakan akhirnya Sajah berkahwin dengan Musailamah. Perkahwinan mereka dengan mas kahwin oleh Musailamah adalah membatalkan syariat solat subuh dan asar. Ini perbuatan paling keji dilakukan oleh Musailamah apabila mempermainkan syariat Allah SWT.

Ketika tentera muslimin hampir tiba untuk menyerang Yamamah, Sajah telah meninggalkan wilayahnya dengan beberapa pengawalnya dan pulang ke penempatannya semula. Pasukan tentera Sajah ditinggalkan di Yamamah bagi membantu Musailamah menghadapi tentera muslimin.

Tidak lama selepas itu Ikrimah dan pasukannya tiba dan berlaku peperangan yang sengit dengan pasukan tentera Musailamah. Kekuatan dan jumlah tentera yang ramai  dari kalangan pasukan Musailamah menyebabkan tentera muslimin terpaksa berundur. Ikrimah tidak boleh lagi mara untuk menghadapinya. Berita ini disampaikan kepada Khalifah Abu Bakar. Arahan diberikan agar pasukan tentera Ikrimah tidak kembali ke Madinah selagi tidak berjaya dalam peperangan ini.

Khalifah Abu Bakar telah mengarahkan Khalid bin al-Walid setelah selesai menghadapi peperangan dengan Malik bin Nuwairah untuk menuju ke Yamamah bergabung dengan pasukan Ikrimah bagi menghadapi Musailamah. Ikrimah diperintahkan agar menanti kedatangan Khalid bin al-Walid bagi sama-sama menyusun strategi bagi menyerang pasukan nabi palsu ini.

Akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera muslimin walaupun jumlah yang syahid dari kalangan tentera muslimin agak besar iaitu 1200 orang manakala di pihak musuh lagi besar iaitu 21,000 orang bermula dari awal peperangan.

Musailamah telah berjaya dibunuh oleh dua orang pahlawan Islam iaitu Wahsyi bin Harb dan Abdullah bin Zaid. Manakala menurut Ibnu Hisyam pula Sajah kembali semula kepada Islam pada zaman Khalifah Muawiyah.

Peperangan ini telah banyak mengorbankan para Sahabat yang agung dan para penghafaz al-Quran. Kerisauan inilah yang akhirnya mengilhamkan kepada Umar al-Khattab ketika beliau menjawat jawatan Khalifah menganjurkan penulisan al-Quran.

Bersambung esok. Insya Allah.

Ust. Sabir
2hb. Mac 2018
13 Jamadil Akhir 1439H

No comments:

Post a Comment