Friday, January 26, 2018

Kelebihan Hari Jumaat

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Padanya dicipta Adam, padanya dimasukkan ke dalam syurga, padanya dikeluarkan daripadanya, dan tidak berlaku Hari Kiamat melainkan pada hari Jumaat”

Keterangan Hari Jumaat adalah penghulu segala hari, hari yang sangat penting bagi umat Islam. Di antara kelebihan hari Jumaat ke atas hari-hari lain ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasai, Ahmad, dan Al-Darimi daripada Abu Hurairah r.a: “Bahawa Rasulullah SAW telah menyebut hari Jumaat, maka baginda bersabda: Padanya saat yang apabila seorang hamba yang muslim berdoa pada saat itu dengan berdiri solat memohon kepada Allah sesuatu, nescaya Allah akan memberikannya”

Mengenai apa yang dimaksud dengan saat yang mustajab tersebut, terdapat perselisihan pendapat yang banyak. Ramai di kalangan sahabat mengatakan bahawa waktunya adalah selepas asar. Tetapi menurut Imam Nawawi r.a. yang paling sahih ialah di antara duduknya Imam (yakni di atas minbar ketika khutbah Jumaat) sehingga selesai solat. Kerananya kita mesti menggunakan hari tersebut dengan sebaik-baiknya dan mengisinya dengan bermacam-macam ibadat, dengan harapan agar pada waktu datangnya saat tersebut kita dalam keadaan beribadat kepada Allah. 

Di dalam kitab Al-Adzkar (m.s. 263), Imam Nawawi telah menjelaskan bahawa pada hari dan malam Jumaat disunatkan bagi kita untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir, berdoa dan berselawat atas Nabi SAW. 

Imam Nawawi telah menukil pandangan Imam Syafiie r.a. di dalam Al-Umm mengenai sunatnya membaca surah Al-Kahfi pada malam dan hari Jumaat, berdasarkan hadith-hadith Nabi SAW yang banyak. Antaranya, Al-Hakim di dalam Mustadraknya telah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya memancar baginya daripada cahaya antara dua Jumaat”. Muslim, Abu Daud dan Ahmad meriwayatkan daripada Abu al- Darda` r.a. bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat daripada awal surah AlKahfi, maka ia terpelihara daripada Dajjal”. Imam Ahmad juga meriwayatkan daripada Abu al-Darda` bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa membaca sepuluh ayat daripada akhir surah Al-Kahfi, terpelihara daripada fitnah Dajjal”.

 Dalam solat Subuh Hari Jumaat, disunatkan membaca surah Al-Sajdah dan surah Al-Insan, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abu Hurairah r.a. bahawa beliau berkata: “Nabi SAW pada hari Jumaat, dalam solat Fajar (Subuh), membaca Alif Laam Miim Tanzil (surah Al-Sajdah) dan Hal Ata „Ala lInsaani Hiinun Min al-Dahri (surah Al-Insaan)”

Dalam solat Jumaat disunatkan selepas membaca surah Al-Fatihah, membaca surah Al-Jumu’ah pada rakaat pertama dan pada rakaat kedua surah AlMunafiqun. Selepas solat Jumaat, disunatkan membaca surah Al-Ikhlas dan AlMu’awwidzatain (Surah An-Nas dan Al-Falaq) tujuh kali, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn al-Sunni daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Barangsiapa membaca, selepas solat Jumaat, Qul Huwa Llahu Ahad, Qul A‟udzu Bi Rabb al-Falaq, dan Qul A‟udzu Bi Rabb al-Nas, tujuh kali, maka Allah „Azza Wa Jalla melindungi dengannya daripada keburukan (kejahatan) sehingga Jumaat berikutnya”

Pada pagi Jumaat, kita diperintah mempersiapkan diri untuk menghadiri solat Jumaat dengan mandi, menggosok gigi dan memakai minyak wangi, berdasarkan hadith-hadith Nabi SAW di antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain daripada Abdullah Bin Umar r.a. bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu mendatangi Jumaat, maka hendaklah ia mandi”. Mengenai mandi, dalam mazhab Syafiie, hukumnya sunat muakkadah, kerana berpegang pada hadith-hadith antaranya Muslim, Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa berwuduk, dan menyempurnakan wuduknya, kemudian mendatangi Jumaat serta mendengar dan memperhatikan (khutbah), maka diampuni baginya (dosa yang dilakukan) di antaranya dan di antara Jumaat (berikutnya) dengan tambahan tiga hari, dan barangsiapa yang menyentuh (yakni bermain-main dengan) batu kerikil, maka ia telah mensia-siakan (Jumaatnya)”. 

Imam Syafiie berkata: Antara perkara yang menunjukkan bahawa perintah Nabi SAW untuk mandi pada hari Jumaat hanya sekadar afdhal (lebih baik) dan bukan mewajibkan ialah hadith yang diriwayatkan daripada Imam Bukhari, Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad, Malik dan Al-Darimi daripada Ibnu Umar r.a: “Bahawasanya ketika Umar Ibn Al-Khattab sedang berkhutbah pada hari Jumaat, tiba-tiba masuk seorang daripada kaum Muhajirin yang pertama daripada sahabat Nabi SAW. Maka Umar telah menegurnya: Waktu apakah ini (kerana orang itu datang lewat)? Orang itu menjawab: saya telah disibukkan, maka saya tidak kembali kepada keluarga sehingga saya mendengar azan. Maka saya tidak melakukan lebih daripada berwuduk. Maka Umar berkata: Hanya berwuduk? Sedangkan kau mengetahui bahawasanya Rasulullah SAW memerintahkan untuk bermandi!”. Di dalam hadith lain ada dikatakan bahawa orang itu ialah Othman. Kalaulah keduanya mengetahui bahawa perintah untuk mandi adalah menunjukkan ianya wajib, dan bukannya afdhal, tentunya Umar tidak akan membiarkan Othman sehingga ia menyuruhnya kembali, dan berkata: kembalilah dan mandi (sebagaimana dalam hadith yang lain) dan juga tentunya yang demikian tidak akan tersembunyi bagi Othman yang diketahui berilmu. Tetapi hadith ini menunjukkan bahawa mandi pada hari Jumaat adalah lebih baik dan bukan kewajiban yang wajib dilakukan oleh setiap orang. 

Kita disunatkan bersegera pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, sebagaimana diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Apabila tiba hari Jumaat, para malaikat berdiri di pintu masjid menulis orang yang pertama datang dan yang berikutnya. Perumpamaan orang yang bergegas-gegas seumpama orang yang berkorban dengan menyembelih unta, kemudian menyembelih lembu, kemudian kambing domba, kemudian ayam, kemudian telur. Apabila imam telah keluar, mereka melipat buku catatan mereka dan mendengarkan zikir”

Disunatkan memperbanyakkan istighfar, doa, zikir dan selawat atas Nabi SAW, berdasarkan hadith-hadith Nabi SAW, di antaranya: Ibn al-Sunni meriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa, pada pagi Jumaat sebelum solat Subuh, membaca: 

أ ست غ ف ر اهلل الذ ليه ب إ حي القيوم وأتو ي الإله إال هو ال 

Maksudnya:Aku memohon keampunan kepada Allah, Yang tidak ada Tuhan Yang Layak disembah selain Dia, Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri, dan aku bertaubat kepadaNya”, sebanyak tiga kali, maka Allah akan mengampuni baginya segala dosanya, meskipun banyaknya seperti buih lautan. 

Selepas solat Jumaat disunatkan memperbanyakkan zikir kepada Allah, kerana Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Jumu’ah, ayat 10, yang maksudnya: “Apabila telah ditunaikan solat, maka berkeliaranlah kamu di atas permukaan bumi, carilah kurnia Allah dan ingatlah (berzikirlah kepada) Allah banyakbanyak supaya kamu memperoleh kejayaan”

Ketika khutbah Jumaat, adalah dibolehkan bagi khatib untuk berdoa meminta hujan sebagaimana yang diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim daripada Anas r.a. bahawa beliau berkata: “Manusia telah tertimpa kemarau pada zaman Nabi SAW. Ketika Nabi SAW sedang berkhutbah pada hari Jumaat, seorang A‟robi berdiri dan berkata: Ya Rasulullah, harta binasa dan anak-anak kebuluran, berdoalah kepada Allah untuk kami. Maka baginda mengangkat kedua tangan baginda, dan kami tidak melihat awan di langit. Demi yang jiwaku berada di tanganNya, tidaklah baginda meletakkannya (yakni: kedua tangan baginda) sehingga bergelora awan seperti gunung ganang. Kemudian, belum lagi baginda turun daripada minbar, sehingga aku melihat hujan turun ke atas janggut baginda SAW. Maka telah diturunkan hujan ke atas kami pada hari itu dan hari keesokannya dan hari-hari selepasnya sehingga Jumaat berikutnya. A‟robi tersebut atau orang lain berdiri dan berkata: Wahai Rasulullah, bangunan runtuh dan harta tenggelam, maka berdoalah kepada Allah untuk kami. Maka baginda pun mengangkat kedua tangan baginda, kemudian berdoa:

 ّشجر ت ال ناب األودية وم ط ون ب وب على اآل كام والظ را ّ م ه َّ لل ال علينا ا الينا و و م ح َّ ه َّ أ لل 

Maksudnya: Ya Allah, turunkanlah ke atas sekeliling kami dan jangan ke atas kami. Ya Allah, turunkanlah ke atas bukit bukau, anak-anak bukit, perut- perut lembah dan tempat-tempat tumbuhnya pokok-pokok”. Maka tidaklah baginda mengisyaratkan dengan tangan baginda ke arah awan, melainkan (awan itu) menghilang dan kota Madinah menjadi seperti lubang dan arus air mengalir ke lembah-lembah selama sebulan, dan tidak seorang pun yang datang daripada sebarang penjuru melainkan menceritakan kebaikan”. 

Kesimpulannya, malam jumaat dan hari Jumaat adalah waktu yang Allah berikan banyak kelebihannya. Lebih-lebih lagi apabila ianya berada pada sepuluh malam yang terakhir di dalam bulan Ramadhan, di mana Rasulullah SAW telah mewajibkan ke atas dirinya untuk beriktikaf pada waktu ini. Maka, rebutlah peluang ini dengan sebaik- baiknya. Mudah-mudahan kita termasuk orang yang mendapatkan malam Lailatul Qadar. 

Wallahu ‘Alam Bissowab

 -Disediakan oleh syafiie@kkr.gov.my UNIT INTEGRITI, KKR

No comments:

Post a Comment