Thursday, September 19, 2013

Perkembangan Terkini Aqiqah & Qurban Peringkat Surau Desa Mewah 2013

Lanjutan daripada info ynag telah diposkan pada Ahad 15 September 2013 berkenaan dengan ibadah Aqiqah & Qurban di surau kita ini, info terkini (sehingga 19/9/2013) adalah seperti berikut;

Untuk ibadah Aqiqah:

- Cadangan awal : 1 ekor lembu (hanya tingga 2 bahagian sahaja)

Untuk ibadah Qurban:

- Cadangan awal: 5 ekor lembu
- Status terkini    : 2 ekor telah penuh bahagian (ditempah)
  Baki                 : 3 ekor masih lagi belum ditempah.

Tarikh akhir pengesahan untuk kedua2 ibadah tersebut adalah pada 1 Oktober 2013. Ini adalah untuk memastikan penempahan lembu yang bakal di sembelih di surau kita. Sekiranya ada YB kita (ADUN @ Parlimen) yang berhajat untuk mensedekahkan lembu untuk qurban juga amat dialu-alukan.

DALIL-DALIL MENUNJUKKAN TUNTUTAN BERKORBAN

Antara dalil-dalil syara’, fatwa dan pendapat para ulama Salaf as-Soleh (generasi awal) yang menyatakan bahawa berkorban hukumnya jatuh kepada wajib apabila ada kemampuan ialah:

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah kamu”. (Al-Kausar, 2)

Menurut Rabi’ah, Al-Auza’i, Abu Hanifah, al-Laith dan sebahagian para pengikut Malikiyah bahawa berkorban hukumnya adalah wajib bagi setiap ahli keluarga yang mampu. (Lihat: (1). Bidayah al-Mujtahid. 1/314. Ibn Asyd. (2). Al-Fikhul Islami wa-Adillatuhu. Juz 3/595-597. Dr. Wahbad az-Zuhaili) Antara dalil-dalil mereka yang menunjukkan wajibnya berkorban kepada sesiapa yang berkemampuan ialah:

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah kamu”.

“Dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhuma berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah menetap (mukim) di Madinah selama sepuluh tahun, baginda tetap menunaikan korban”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

“Di masa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, setiap seseorang lelaki berkorban dengan seekor kambing untuknya dan untuk keluarganya”. (H/R Tirmizi, kitab al-Adhahi 2/1216 (hadis ini disahihkan oleh beliau). Dikeluarkan oleh Ibnu Majah, 2/2546 (dengan sanad yang sahih). Hadis ini disahihkan juga oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)

“Diatas setiap ahli bait (ketua keluarga) hendaklah ada sembelihan (korban/udhiyah)”. (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah. Hakim (disahihkan oleh beliau))

“Barangsiapa yang mendapati dirinya mempunyai kelapangan/kemampuan (rezeki untuk berkorban), lalu dia tidak mahu berkorban, maka jangan sekali-kali dia mendekati tempat solat kami”. (Hadis Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Darqutni, Hakim dan sanadnya hasan. Lihat: Fathul Bari, jld. 10/5. Hadis Mauquf lihat: Bulughul Maram, 1349 dan Ahkam al-I’dain, hlm. 26)

Telah dijelaskan dalam kitab Subulus Salam tentang maksud hadis di atas ini bahawa:

“Hadis ini menunjukkan bahawasanya seseorang dianggap telah meninggalkan suatu kewajipan (korban) yang seolah-olah (baginya) tidak ada manfaatnya, walaupun dia bertaqarrub kepada Allah (solat tetapi sayangnya) dia meninggalkan kewajipan itu (korban)”. (Lihat: Subulus Salam, 4/169)

“Bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah berkorban untuk orang yang belum berkorban dari umatnya dengan seekor kambing kibasy”. (Hadis Riwayat al-Barra’ bin Azib)

“Dari Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu berkata: Kami bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di salah satu perjalanan (safar), kemudian tiba Hari Raya Korban, maka kami berkongsi tujuh orang pada seekor lembu dan sepuluh orang pada seekor unta”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi, 1213. Dan disahihkan oleh al-Albani)

“Dari Jabir radiallahu ‘anhu berkata: Kami telah menyembelih korban bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di Hudaibiyah, iaitu unta untuk tujuh orang dan lembu untuk tujuh orang”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Imam Malik rahimahullah berkata:

“Saya tidak suka terhadap seseorang yang mampu untuk menyembelih binatang (korban) lalu dia meninggalkannya (tidak melakukannya)”. (Lihat: الموطأ 2/38. Imam Malik. Syarah al-Muwatha: Tanwir al-Hawalik)

No comments:

Post a Comment