Saturday, September 29, 2012

Hukum Melakukan Ibadah Korban Bagi Pihak Orang Lain

ﻩﻻﺍﻭ ﻦﻣﻭ ﻪﺒﺤﺻﻭ ﻪﻟﺁ ﻰﻠﻋﻭ ، ﷲﺍ ﻝﻮﺳﺭ ﻰﻠﻋ ﻡﻼﺴﻟﺍﻭ ﺓﻼﺼﻟﺍﻭ ، ﷲ ﺪﻤﳊﺍﻭ ، ﷲﺍ ﻢﺴﺑ
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Menyembelih korban selepas naik matahari pada Hari Raya Adhha
iaitu sekadar berlalu sembahyang dua rakaat dan dua khutbah
ringkas sembahyang hari raya sehingga terbenam matahari pada
hari Tasyriq terakhir iaitu hari ke 13 Zulhijjah merupakan salah
satu ibadah yang dituntut oleh agama. Tuntutan ini jelas disebutkan
sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu
semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).
(Surah al-Kautsar: 2)

Hukum berkorban ialah sunat mu’akkadah (sunat yang sangat
dituntut) bagi orang baligh, berakal, merdeka serta berkemampuan
untuk melaksanakannya. Maksud berkemampuan di sini adalah
orang yang mampu untuk berkorban setelah ada lebihan dari
keperluannya dan keperluan orang-orang yang di bawah
tanggungannya pada Hari Raya Adhha dan hari-hari Tasyriq.

Menurut jumhur ulama, sunat melakukan korban bagi orang yang
mampu dan makruh hukumnya jika dia tidak melakukannya
sedangkan dia ada kemampuan untuk melakukan korban. Hukum
ini akan menjadi sunat mu’akkadah ‘ainiyyah iaitu sunat yang
dituntut ke atas orang itu sendiri sekiranya dia tinggal bersendirian
di dalam sebuah rumah. Dan sebaliknya menjadi sunat
mu’akkadah kifayah iaitu sunat yang dituntut secara umum bagi
sebuah keluarga dalam sebuah rumah. Jika salah seorang daripada
ahli keluarga di dalam rumah tersebut melakukan korban, maka
gugurlah tuntutan sunat kifayah daripada anggota keluarga yang
lain.

Tuntutan untuk melaksanakan korban ini sudah mendapat
perhatian daripada orang ramai. Timbulnya kesedaran di kalangan
orang Islam terhadap keutamaan ibadah korban menyebabkan
tidak sedikit jumlah binatang korban yang disembelih setiap
menjelangnya Hari Raya Adhha, bahkan semakin bertambah
jumlahnya setiap tahun. Ini kerana selain dari menjunjung tuntutan
syara‘, keghairahan untuk meraih ganjaran juga tidak dibiarkan
terlepas begitu sahaja.

Dari segi yang lain pula, kelebihan dari segi kewangan bagi
sesetengah individu menyebabkan mereka bukan sahaja melakukan
korban untuk mereka sendiri, bahkan untuk pihak orang lain
dengan perbelanjaan yang ditanggung oleh mereka sendiri. Ada
yang melakukan korban untuk ibu-bapa, anak-anak, adik beradik,
saudara mara malahan untuk teman-teman mereka.

Persoalan yang timbul ialah kedudukan hukum seseorang yang
melakukan korban bagi pihak orang lain. Adakah sah atau tidak
korban yang dilakukan untuk orang lain dengan kos perbelanjaan
daripada harta orang yang melakukan korban itu?

Perbincangan mengenai hukum melakukan korban bagi pihak
orang lain ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu:-

i. Melakukan korban bagi orang lain yang masih hidup.
ii. Melakukan korban bagi orang lain yang telah meninggal
dunia.

Korban Bagi Orang Yang Hidup

Tidak harus melakukan korban bagi orang lain yang masih hidup
dan tidak sah korban tersebut jika dilakukan kecuali dengan ada
keizinan daripada orang tersebut. Ini kerana korban itu adalah
suatu ibadah dan melakukan ibadah untuk orang lain adalah
ditegah kecuali jika ada dalil yang mengharuskan untuk berbuat
sedemikian. Dalam perkara ibadah korban, adanya keizinan adalah
syarat yang mengharuskan seseorang itu melakukan korban bagi
orang lain yang masih hidup.

Berbeza halnya dengan beberapa keadaan berikut:-

i. Wali (bapa dan datuk sahaja) boleh melakukan korban
dengan kos perbelanjaan dikeluarkan daripada hartanya
untuk orang-orang yang di bawah jagaannya seperti anak
atau cucunya yang masih kecil. Dalam keadaan ini,
contohnya jika bapa melakukan korban untuk anaknya, maka
sah korban untuk anak tersebut, sementara si bapa pula
memperolehi pahala hibah (pemberian).

Walau bagaimanapun tidak sah korban yang dilakukan untuk
anak yang masih dalam kandungan. Ini kerana belum ada
apa-apa tuntutan syara‘ yang dikenakan ke atasnya.

ii. Jika salah seorang daripada ahli keluarga dalam sebuah
rumah melakukan korban untuk dirinya sudah dianggap
melepaskan tanggungan sunat kifayah keluarga tersebut
walaupun tanpa ada keizinan daripada ahli keluarga yang lain

atau tanpa ada niat mereka untuk melakukan korban.

iii. Harus bagi pemimpin atau ketua melakukan korban bagi
orang-orang Islam di bawahnya daripada harta Baitul Mal
(jika ada kelebihan pada harta tersebut) dengan menyembelih
badanah (unta atau lembu yang gemuk). Jika tidak mampu
menyembelih badanah maka dengan seekor kambing biribiri.


Walau bagaimanapun dengan sembelihan ini tidak
menggugurkan tuntutan korban ke atas orang-orang Islam
yang berkemampuan kerana apa yang diperolehi daripada
sembelihan pemimpin atau ketua itu adalah perolehan pahala
semata-mata bagi orang-orang Islam.

Daging daripada sembelihan ini juga boleh dimakan oleh
orang-orang Islam termasuk orang-orang kaya kerana
sembelihan itu dianggap sedekah semata-mata.

Korban Bagi Orang Yang Sudah Meninggal Dunia

Tidak harus bagi ahli waris mahupun orang lain melakukan korban
bagi orang yang sudah meninggal dunia dan tidak sah korban yang
dilakukan melainkan jika orang yang telah meninggal dunia itu
pernah mewasiatkan sedemikian.

Apabila orang yang diwasiatkan melakukan korban bagi pihak si
mati, maka dia tidak boleh memakan daging tersebut dan juga
tidak boleh menghadiahkannya kepada orang kaya kecuali jika ada
keizinan awal daripada si mati. Oleh yang demikian daging
tersebut wajib diagihkan kesemuanya kepada fakir miskin.


Begitulah penjelasan mengenai hukum melakukan korban bagi
orang lain, sama ada orang tersebut masih hidup ataupun sudah
meninggal dunia. Apa yang jelas, seseorang yang ingin melakukan
korban bagi orang lain perlu meminta keizinan terlebih dahulu
daripada yang empunya diri atau dengan adanya wasiat yang
ditinggalkan untuknya. Jika dilakukannya juga tanpa ada keizinan
atau wasiat, maka korban tersebut tidak sah.








Source from Pejabat Mufti Negara Brunei Darussalam.http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2010/bill20-2010.pdf

No comments:

Post a Comment