Tuesday, February 27, 2018

CABARAN DAKWAH KHULAFA AR-RASYIDIN : ABU BAKAR AS SIDDIQ (Siri 11)

Tazkirah Jiwa Siri 472

CABARAN DAKWAH KHULAFA AR-RASYIDIN : ABU BAKAR AS SIDDIQ (Siri 11)

PASUKAN KHALID AL-WALID MEMERANGI GOLONGAN MURTAD

Khalifah Abu Bakar memberi arahan kepada Khalid al-Walid untuk memerangi golongan murtad. Golongan ini adalah dari Bani Asad yang bergabung dengan Bani Ghatafan serta diketuai oleh Thulaihah bin Khuwailid yang mengaku menjadi nabi di daerah Buzakhah berhampiran Madinah. Namun dalam melaksanakan misi ini Khalid al-Walid juga diberi tugas untuk memerangi golongan Bani Ta’i yang juga telah murtad. Bani Ta’i tinggal berdekatan dengan timur laut kota Khaibar.

Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w Bani Ta’i telah murtad dan sebahagian dari mereka telah bergabung dengan Thulaihah bin Khuwailid di Buzakhah. Manakala sebahagian lagi yang murtad tetap tinggal di penempatan mereka di timur laut Khaibar. Walau bagaimana pun masih terdapat sebahagian kecil yang masih tetap keimanannya dengan Islam.

Misi Khalid bin al-Walid sebelum menyerang Buzakhah adalah menuju ke penempatan Bani Ta’i. Bersama Khalid bin al-Walid adalah Adi bin Hatim at-Ta’i iaitu Sahabat dari keturunan Bani Ta’i yang ditugaskan untuk mengajak kaumnya kembali kepada Islam dan mentaati Khalifah. Adi bin Hatim telah diberikan arahan oleh Khalifah Abu Bakar dengan katanya,

“Temui kaummu sebelum mereka bergabung dengan Thulaihah, sekiranya mereka bergabung mereka akan hancur.”

Adi bin Hatim segera berjumpa kaumnya dan memberi nasihat dan peringatan kepada mereka agar berbaiah kepada Khalifah Abu Bakar namun kaumnya enggan. Lalu berkata Adi bin Hatim,

“Demi Allah, pasukan tentera akan menyerbu kamu semua. Mereka tidak akan berhenti menyerang sehingga kamu mengetahui bahawa merekalah lelaki yang paling gagah.”

Kata-kata Adi bin Hatim berjaya melembutkan jiwa Bani Ta’i sehingga akhirnya mereka datang menghadap Khalid bin al-Walid dan menyatakan taubat serta kembali kepada Islam dan berbaiah mentaati Khalifah Abu Bakar. Bahkan mereka yang berjumlah 500 orang telah bergabung dengan pasukan tentera Khalid bin al-Walid meneruskan misi ke penempatan Bani Jadilah yang juga telah murtad.

Sekali lagi Adi bin Hatim meminta izin kepada Khalid al-Walid memberi peluang kepadanya untuk mengajak Bani Jadilah kembali kepada Islam dan mentaati Khalifah Abu Bakar sebagai pemimpin. Bani Ta’i mempunyai hubungan yang rapat dengan Bani Jadilah, telah berkata Adi bin Hatim kepada Khalid bin al-Walid,

“Bani Ta’i seperti burung dan Bani Jadilah laksana sayap kepada Bani Ta’i. Berilah kepadaku tempoh beberapa hari sekiranya Allah masih mahu memberi pertolongan kepada Bani Jadilah.”

Pujukan dan nasihat Adi bin Hatim sekali lagi berjaya dan Bani Jadilah kembali bertaubat dan berbaiah mentaati Khalifah Abu Bakar. Mereka datang menemui Khalid bin al-Walid dengan jumlah 1000 orang tentera lalu bergabung dengan tentera yang dipimpin oleh Khalid bin al-Walid untuk menyerang Barzakhah yang diketuai oleh Thulaihah bin Khuwailid. Jasa Adi bin Hatim amat besar kerana berjaya mengembalikan mereka kepada Islam serta mengelakkan berlakunya pertumpahan darah. 

Islam datang dengan strategi dan kasih sayang untuk mengajak manusia kembali taat bukannya untuk terus menghukum. Walaupun jelas hukuman kepada golongan murtad namun kasih sayang mampu melembutkan hati manusia yang terpedaya dengan syaitan. Perjuangan kepada kebenaran datangnya dengan penuh kasih dan sayang mengajak manusia mengenal Allah dan mentaati-Nya agar terselamat dari sambaran api neraka.

Misi seterusnya adalah peperangan dengan Thulaihah bin Khuwalid, apakah yang terjadi kepada nabi palsu ini? 

Bersambung esok. Insya Allah.

Ust. Sabir
27hb. Feb. 2018
11 Jamadil Akhir 1439H.

No comments:

Post a Comment