Tuesday, July 22, 2014

ADAKAH SAH I'TIKAF DI SURAU?

ADAKAH SAH I'TIKAF DI SURAU?

Soalan: Bolehkah i’tikaf di surau? Adakah sah i’tikafnya?
Jawapan: Mungkin ramai dalam kalangan kita yang masih keliru mengenai tempat untuk menunaikan i’tikaf. Tambahan pada bulan puasa ini, ramai yang ingin mengambil peluang untuk beri’tikaf di masjid bagi menumpukan perhatian terhadap ibadah.
Hal ini kerana, untuk menumpukan ibadah di rumah, sudah pasti suasananya amat mencabar. Kita semua sedia maklum akan cabarannya seperti TV, media sosial, makanan, urusan kerja, anak-anak, suami atau isteri dan sebagainya.
Namun, yang menjadi persoalan ramai. Tidak ramai dari kalangan kita yang rumahnya berdekatan dengan masjid, tetapi yang dekatnya adalah surau perumahan atau sebagainya, kerana yang difahami oleh orang ramai bahawa i’tikaf harus dilaksanakan di masjid. Maka ramai orang tersilap faham, ditambah lagi jarak antara rumah dan masjid amat jauh.
Justeru, adakah untuk melaksanakan i’tikaf mesti dilakukan di masjid atau boleh dilakukan di tempat-tempat yang lain. Oleh itu, untuk memahami perkara ini dengan lebih lanjut, boleh ikuti penerangan yang jelas di bawah.

Pertama, ulama sepakat bahawa i’tikaf bagi lelaki harus dilakukan di masjid
Allah SWT memberikan aturan bahawa i’tikaf harus dilakukan di masjid dalam firman-Nya,
وَلا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ
“Janganlah kamu menggauli isteri kamu ketika kamu sedang beri’tikaf di masjid.” (Al-Baqarah: 187)
Ayat ini merupakan dalil, syarat sah i’tikaf mesti dilakukan di masjid.
Imam Al-Qurthubi mengatakan,
أجمع العلماء على أن الاعتكاف لا يكون إلا في مسجد
“Ulama bersepakat bahawa i’tikaf hanya boleh dilakukan di dalam masjid.” (Tafsir al-Qurthubi, 2/333)
Keterangan yang sama juga disampaikan oleh Ibnu Rusyd,
وأجمع الكل على أن من شرط الاعتكاف المسجد ، إلا ما ذهب إليه ابن لبابة من أنه يصح في غير مسجد
“Semua ulama sepakat bahawa di antara syarat sah i’tikaf mesti dilakukan di masjid, kecuali pendapat Ibnu Lubabah yang mengatakan, boleh i’tikaf di selain masjid.” (Bidayah al-Mujtahid, hlm. 261)

Kedua, istilah masjid dan surau
Menurut bahasa, masjid [arab: مسجد] diambil daripada kata sajada [arab: سجد], yang membawa maksud bersujud. Disebut masjid, kerana ia menjadi tempat untuk bersujud. Kemudian makna ini meluas, sehingga masjid dimaksudkan sebagai tempat berkumpulnya kaum muslimin untuk melaksanakan solat.
Imam az-Zarkasyi mengatakan,
ولَمّا كان السجود أشرف أفعال الصلاة، لقرب العبد من ربه، اشتق اسم المكان منه فقيل: مسجد، ولم يقولوا: مركع
“Perbuatan sujud adalah gerakan yang paling mulia dalam solat, hal ini kerana dekatnya seorang hamba kepada Tuhannya (ketika sujud), maka nama tempat solat diambil daripada kata ini, sehingga orang menyebutnya, ‘Masjid’, dan mereka tidak menyebutnya, Marka’ (tempat rukuk).”  (I’lam as-Sajid bi Ahkam Masajid, az-Zarkasyi, hlm. 27, dinukil daripada al-Masajid, Dr.Wahf al-Qahthani, hlm. 5).
Kemudian Imam az-Zarkasyi menyebutkan makna masjid menurut istilah yang difahami kaum muslimin (urf),
ثم إن العُرف خصص المسجد بالمكان المهيّأ للصلوات الخمس، حتى يخرج المُصلّى المجتمع فيه للأعياد ونحوها، فلا يُعطى حكمه
“Kemudian, masyarakat muslim memahami bahawa kata masjid hanya khusus untuk tempat yang disiapkan bagi solat 5 waktu. Sehingga tanah lapang tempat berkumpul untuk solat eid atau seumpamanya, tidak dihukumi sebagai masjid.” (I’lam as-Sajid bi Ahkam Masajid, az-Zarkasyi, hlm. 27, dinukil daripada al-Masajid, Dr.Wahf al-Qahthani, hlm. 5)
Berdasarkan keterangan di atas, secara istilah syariah, surau termasuk dalam kategori masjid. Ini kerana, surau merupakan tempat yang disediakan khusus untuk solat secara berjemaah.
Oleh itu, sebagai catatan, bahawa kata masjid dalam istilah fikah ada dua,
  1. Masjid jami’ ialah masjid yang digunakan untuk solat 5 waktu dan solat jumaat
  2. Masjid ghairu Jami’ ialah masjid yang digunakan untuk solat 5 waktu saja, dan tidak digunakan untuk solat jumaat.
Masjid jenis  kedua ini, di tempat kita disebut sebagai surau.
Ketiga, masjid yang boleh digunakan untuk  i’tikaf
Ibnu Rusyd menyebutkan, ada tiga pendapat ulama tentang batasan masjid yang boleh digunakan untuk i’tikaf.
  1. I’tikaf  hanya boleh dilakukan di tiga masjid, iaitu di Masjidil Haram, Masjid Nabawi, dan Masjidil Aqsa. Ini merupakan pendapat sahabat Hudzaifah bin Yaman r.a. dan seorang tabiin Said bin al-Musayib. Ini adalah pendapat yang lemah. Kerana tidak ada dalil bahawa i’tikaf mesti di tiga masjid tersebut.
  2. I’tikaf  hanya boleh dilakukan di masjid jami’, iaitu masjid yang digunakan untuk solat jumaat.
  3. I’tikaf boleh dilakukan di semua masjid, baik jami’ mahu pun bukan jami’. Ini merupakan pendapat majoriti ulama, di antaranya as-Syafii, Abu Hanifah, at-Tsauri, dan pendapat masyhur daripada Imam Malik.
(Bidayah al-Mujtahid, hlm. 261).
Justeru, pendapat yang lebih kuat dalam hal ini adalah pendapat majoriti ulama bahawa tempat yang boleh digunakan untuk i’tikaf tidak semestinya di masjid jami’. Namun boleh dilaksanakan di  semua jenis masjid dan surau, meskipun tidak digunakannya untuk solat jumaat.
Hal ini kerana, Allah SWT menyebut dalam al-Quran secara umum iaitu, ”ketika kamu sedang i’tikaf di masjid.” tanpa ada batasan, baik masjid jami’ mahu pun yang bukan jami’. Sehingga i’tikaf di surau hukumnya boleh dan sah.

No comments:

Post a Comment