Thursday, February 24, 2011

Kuliah Mingguan 25/2/11

Kuliah Mingguan oleh Ust. Zakaria Mohamad daripada Jabatan Agama Wilayah (JAWI)

Tarikh: Jumaat 25 Feb 2011
Masa  : Selepas solat Maghrib
Tempat: Surau Desa Mewah


Disamping itu akan diadakan Solat Hajat/Doa Selamat untuk Hj. Ramli yang akan membuat penjelajahan  ke Borneo (Sarawak, Sabah & Brunei) selepas Maghrib.

Dijemput beramai-ramai menghadiri kedua-dua majlis ini.

Tuesday, February 15, 2011

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD SAW

Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah :
"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan telti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.
Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.
Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.
- Sumber dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Layari http://www.islam.gov.my/


BERCINTA DENGAN RASULULLAH SAW

Pepatah Melayu ada menyebut - "Tak kenal maka tak Cinta". Ungkapan ini, antara lain membawa maksud, jika kita tidak kenal dengan seseorang bagaimana mungkin kita dapat menzahirkan perasaan cinta terhadapnya. Tidak pernah wujud orang yang bercinta dengan seseorang yang tidak pernah diketahui atau dikenalinya terlebih dahulu.
Tidak hairanlah di dalam Islam, perkara pertama yang perlu dititikberatkan sebagai Muslim ialah mengenal Allah atau di dalam Bahasa Arabnya berbunyi -Awwaluddin Ma'rifatullah. Sebab itulah, jika dilihat kepada ayat-ayat Al-Quran yang terawal diturunkan atau yang juga dipanggil Ayat Makkiyyah (yang diturunkan di Makkah), kebanyakannya menceritakan tentang kebesaran Allah atau aspek-aspek berkaitan akidah yakni keesaan Allah.
Ini kerana pada ketika itu, masyarakat jahiliyyah masih menyembah berhala dan mengamalkan pelbagai amalan khurafat yang lain. Ayat-ayat yang kebanyakannya dimulakan dengan ungkapan 'Ya Ayyhuhannas' ini bertujuan untuk membersihkan jiwa manusia daripada unsur syirik dan khurafat tersebut.
Hanya setelah unsur-unsur jahiliyyah dan syirik tersebut dinyahkan, barulah prinsip-prinsip serta syariat Islam yang lain dapat diterapkan ke dalam diri seorang Muslim.
Jika dilihat pada ayat-ayat Makkiyyahtersebut, tidak dinyatakan tentang persoalan Ibadat seperti Solat, Zakat, Haji dan sebagainya. Ini kerana, persoalan Ibadat yang merupakan manifestasi cinta seseorang hamba kepada tuhannya hanya akan datang apabila seseorang itu telah mengenal tuhannya atau dalam kata lain - telah jelas dari sudut akidahnya.
Kenal Allah, Baru Ibadat
Jika teori ini diambil kira, maka pendekatan dalam berdakwah kepada Non-Muslim kita pada hari ini tidak sepatutnya didahulukan dengan perkara Ibadat. Bagaimana mungkin kita ingin menyuruh Non-Muslim melakukan ibadah jika mereka terlebih dahulu belum mengenal Allah. Bila mereka sudah kenal Allah, barulah beransur-ansur akan datang perasaan ingin menunjukkan rasa kasih dan cinta kepadaNya iaitulah melalui amal ibadah yang telah disyariatkan.
Begitulah juga cinta kita kepada Rasululluah SAW. Bagaimanakah agaknya cara untu menzahirkan perasaan cinta kepada baginda? Sudah tentulah persoalan tersebut hanya dapat dirungkaikan dengan kita terlebih dahulu mengenal Rasulullah SAW.
Mengenal Rasulullah SAW, antara lain bermaksud kita tahu apa yang baginda suka dan apa yang baginda benci atau apa yang baginda suruh dan apa yang baginda larang. Jika kita enggan membuat perkara yang baginda suka atau masih membuat perkara yang baginda larang, maka kita masih belum cukup kenal, jauh sekali untuk bercinta dengan baginda.
Suami Isteri
Sebagaimana kedaannya sepasang suami isteri yang saling mencintai antara satu sama lain. Si suami akan berusaha membuat apa yang disukai dan meninggalkan apa yang dibenci isterinya sebagai tanda dan bukti cinta yang tidak berbelah bahagi kepada isterinya. Namun, jika si isteri melihat si suami sudah tidak lagi membuat perkara yang disukainya atau membuat perkara yang dibencinya, maka ia seolah menunjukkan cinta dan sayang si suami tadi sudah semakin pudar.
Maka, begitulah juga halnya dengan cinta kita kepada Rasulullah SAW. Tidak sempurna cinta kita kepada baginda jika kita tidak melaksanakan arahan serta mengamalkan sunnah baginda di dalam kehidupan seharian.
Memperlekeh & Membenci??
Bagaimanakah kita ingin mengatakan kita cintakan Rasulullah jika kitalah orang pertama yang memperlekehkan dakwah baginda? Bagaimanakah kita ingin katakan yang kita amat menyintai baginda jikalau kitalah orang yang paling bencikan sunnah dan ajaran baginda?
Jika Rasulullah tidak pernah melebihkan kaum Arab ke atas kaum yang lain - kerana setiap anak adam itu sama sahaja di sisi Allah melainkan yang bertaqwa, kita pula membeza-bezakan darjat sesama manusia hanya kerana bangsa dan warna kulit.
Jika Rasullullah SAW menjadikan dakwah Islamiah sebagai agenda hidup-mati baginda, kita pula hanya menjadikannya kerja-kerja part-time yang bersifat bermusim malah mengharapkan balasan duniawi di sebalik kerja-kerja tersebut. Jika baginda sanggup menghukum anakanda baginda Fatimah sekiranya beliau mencuri, kita pula lebih suka menyebelahi anak kita meskipun anak kita melakukan kesilapan.
Malah, jika kita seorang yang berpengaruh, kita akan cuba sedaya upaya menggunakan pengaruh dan kuasa untuk memastikan anak kita yang bersalah itu dilindungi atau tidak dihukum. Jika Rasulullah menyuruh kita menjaga batasan pergaulan dan menutup aurat, kitalah orang yang paling gemar mendedahkan aurat dan bergaul bebas tanpa batasan.
Jika Rasulullah menyuruh kita berlaku adil - iaitu memberikan hak kepada mereka yang berhak, kita pula hanya memberikan hak kepada orang yang kita sayangi, yang kita kenali, yang mempunyai persamaan dengan kita, meskipun kekadang mereka tidak berhak! Jika Rasulullah mewasiatkan kita untuk berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup, kita kadangkala tidak ambil pusing akan apa yang terkandung di dalam kedua-duanya.
Jika Rasulullah menyuruh kita bercakap benar, kitalah orang yang paling suka membuat spekulasi palsu untuk kepentingan diri. Jika Rasululllah menganjurkan agar kita takutkan kemurkaan Allah lebih dari segala-galanya di atas muka bumi ini, kita pula lebih takutkan sesama manusia, lebih-lebih lagi  jika ia berkait dengan periuk nasi kita.
Jika Rasulullah menyuruh kita mengasihi orang lain sebagaimana kita mengasihi diri kita, kita pula hanya mementingkan diri sendiri. Jika Rasulullah menyuruh kita menunaikan amanah yang telah dimanahkan - lebih-lebih lagi jika ia berkait dengan kepentingan umum, kitalah orang yang paling gemar mengkhianati amanah tersebut.
Berarak Sahaja Tidak Cukup
Nah, jika kita masih melakukan apa yang Rasulullah tidak suka, bagaimana mungkin kita katakan kita sudah cukup kasih akan baginda! Sesungguhnya, kasihkan baginda tidak memadai dengan hanya berarak dan berselawat memuji baginda, tetapi juga menginsafi falsafah diutuskan baginda kepada kita semua - iaitu tidak lain dan tidak bukan sebagai rahmat sekalian alam.
Moga-moga belum terlewat untuk kita kembali 'menghargai' rahmat yang didatangkan kepada kita melalui pengutusan baginda Rasulullah SAW. Mudah-mudahan dengan cinta dan kasih kita yang tidak berbelah bahagi ini, kita akan beroleh syafaat baginda di akhirat kelak seterusnya sama-sama menghuni syurga Allah bersama-sama baginda, para anbiya', solihin dan pejuang-pejuang agama suci ini.
Salam Maulidurrasul - 12 Rabi'ul Awwal 1432 Hijriyyah.
- Artikel iluvislam.com

KONSEP ZUHUD YANG SEBENAR

Apabila disebut zuhud, orang terus memvisualkan keadaan yang miskin, susah, compang-camping. Ini adalah satu tanggapan yang salah. Hakikatnya zuhud itu konsepnya ialah manusia itu jiwanya mengawal dan bukannya dikawal oleh wang atau harta. Kerana itu masih ramai yang keliru apabila zuhud itu disebut dalam Islam tetapi pada masa yang sama orang Islam digesa mencari kekayaan dan kekuatan ekonomi.
Tidak salah mempunyai rumah yang besar, kereta yang mahal serta berkualiti serta harta yang melimpah ruah. Itu adalah yang terbaik apabila umat Islam mempunyai kuasa beli yang kuat untuk berbuat sesuatu. Bagaimanakah anda boleh membantu dan bersedekah sekiranya anda sendiri perlu dibantu dari segi ekonomi?
Tahukah anda Rasulullah menggunakan kuda perang yang terbaik dari baka Arab. Kalau kita bandingkan kuda itu dengan kenderaan sekarang ia seperti tahap kereta Ferrari dan Bentley. Malah Rasulullah mengarahkan supaya baka tersebut dikawal supaya ia tidak keluar dari tanah arab. Ia adalah supaya teknologi baka itu dikuasai oleh orang Islam.
Definisi Mencari Kekayaan Dalam Islam Dan Memanfaatkannya
Masalahnya sekarang ia definisi dan persepsi tentang kekayaan. Apabila hari ini anda jelas mengenai zuhud, maka anda faham bahawa mencari kekayaan itu perlu tetapi tunduk kepada kekayaan itu adalah salah. Tunduk kepada kekayaan disini bermaksud, manusia sanggup mengabaikan perintah Allah demi kekayaan. Manusia menjadi ujub dan takbur dengan kekayaan. Disinilah konsep zuhud dalam kekayaan itu telah hilang.
Kerana itulah juga agama dianggap sesuatu yang murah. Menghantar anak mengaji Al-Quran dengan RM40 masih dikatakan orang mahal tetapi kelas tuisyen dengan RM40 satu subjek dikatakan keperluan. Bukankah islam telah menerangkan tentang wasatiah iaitu keseimbangan ilmu dunia dan akhirat untuk kesejahteraan hidup? Jadi mengapa ada 'double standard' di situ?
Adakah Ilmu Agama Itu 2nd Class?
Ilmu agama tidak banyak membantu dalam kerjaya dan kehidupan? Anda silap. Ini adalah kerana anda tidak banyak mengkaji betapa ilmu spiritual begitu banyak membantu organisasi dan kehidupan manusia. Mengapa diseluruh dunia, organisasi menghabiskan berbilion dolar untuk program latihan berbentuk spiritual seperti pembangunan diri, pembangunan kerja kumpulan dan kepimpinan? Tahukah anda itu adalah cabang spiritual yang asalnya diambil dari ilmu keagamaan?
Jika kita merujuk teori Sigmund Freud tentang minda sedar dan separa sedar, ia adalah perkara berkaitan psikologi. Di dalam surah Al-Baqarah, Allah telah berfirman untuk kita mempercayai perkara ghaib. Ghaib disini bermaksud spiritual yakni agama. Begitu juga di dalam Al-Quran ada menyebut tentang peranan hati yang mana rosak atau baiknya hati ini, akan menentukan kejayaan seseorang. Jose Silva, salah seorang yang berpengaruh yang mana teori pembangunan mindanya begitu menekankan aspek spiritual dan diperkayakan oleh syarikat latihan seluruh dunia membangunkan modul. Kerana itu mereka yang terlalu ultra menggunakan konsep logik gagal memperoleh satu keputusan yang terbaik apabila mengabaikan perkara spiritual.
Kefahaman Zuhud Yang Sebenar Serta Hikmah Kepada Ummah
Apakah kaitan spiritual dan zuhud dalam perbincangan kita ini? Ianya sangat berkait rapat. Mengapa ramai yang berzuhud agak kurang membuat harta? Kerana mereka takut tidak dapat mengawal harta sebaliknya harta mengawal mereka. Mereka takutkan kerosakan yang boleh membawa mereka kepada kesesatan.Itulah jua maksud zuhud yang sebenar iaitu mengelak atau meninggalkan sesuatu kerana kehinaannya walaupun mampu untuk memperolehnya.
Kerana itulah, seorang manusia harus membekalkan diri dengan bekalan spiritual yang cukup bagi menemui kejayaan kehidupan. Kita terlalu digula-gulakan tentang kejayaan berdasarkan nombor dan wang ringgit tetapi akhirnya masih ada kegagalan. Kerana itu ramai hartawan dunia dilaporkan mati dibunuh dan membunuh diri. Mereka tidak mampu untuk mengelak dan meninggalkankan dunia tetapi akhirnya mereka meninggalkan jua semua itu dalam keadan yang menyedihkan. Bagaimana seseorang yang tidak membekalkan diri dengan kemampuan mengawal boleh mengawal sesuatu?
Fahamilah konsep zuhud dengan sebenar, maka insyallah kita akan menjadi insan yang amat berguna untuk diri sendiri, orang disekeliling serta masyarakat. Sudah tentulah juga kita mampu menjadi orang yang berguna dan mampu berbakti kepada agama seperti Abu Bakar As-Siddiq serta Abdur Rahman Auf yang mampu menginfaqkan harta mereka.
- Artikel iluvislam.com