Tuesday, March 10, 2020

☆Tadabbur Kalamullah 14 Rejab 1441H☆

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوۤا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمۡ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)" [Surah al-Anfal 27]

#Memilih dan melantik kepimpinan yang jujur dan amanah untuk mentadbir urusan umat dan negara adalah satu kewajipan. Kepimpinan yang baik, amanah dan bertanggungjawab akan memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada setiap orang yang dipimpinnya. Pemimpin yang baik sudah tentu memiliki keazaman yang tinggi dalam memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dalam segala keputusan yang dibuat.

#Namun begitu, Allah swt mengingatkan kepada para pemimpin agar jangan sesekali khianati amanah yang telah diberikan. Begitu juga dalam hadis, Baginda saw memberi ancaman keras kepada para pemimpin yang menipu dan khianat. 

مَعْقِلَ بْنَ يَسَارٍ الْمُزنِيَّ قَالَ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Sayidina Ma’qil bin Yasar al-Muzani r.a berkata, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa diberi amanah oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam keadaan menipu rakyat, nescaya Allah mengharamkan Syurga ke atasnya". (HR Muslim)

#Ini menunjukkan jawatan kepimpinan bukannya suatu yang perlu dibanggakan dan diraikan, tetapi sesuatu yang perlu ditakuti dan digeruni kerana ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang sangat berat. 

#Marilah kita menghayati kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz tatkala dilantik menjadi pemimpin/khalifah:

"Ketika beliau baru dilantik menjadi khalifah, semua pembesar negeri ternanti-nanti kemunculannya di khalayak ramai dan mereka bertanya kepada anaknya: "Kenapa ayahmu belum keluar untuk bertemu dengan kami?” Lalu jawab anaknya: “Sejak ayahku dilantik menjadi khalifah, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, air matanya bercucuran hingga ke janggutnya, dan apabila ibuku bertanya kepadanya, dia berkata: "Wahai Fatimah, aku telah diamanahkan dengan urusan umat Muhammad ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Maka aku sedang memikirkan tentang nasib rakyatku yang fakir, mereka yang kelaparan, mereka yang sakit lagi menderita, orang-orang kampung yang susah, aku sedar bahawa Tuhanku akan bertanya kepada aku mengenai mereka semua pada hari kiamat kelak, tetapi aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawab setiap soalan itu, lalu aku pun menangis kerana mengenangkan nasibku di akhirat nanti.”

#Allahuakbar!! Betapa jawatan bukanlah suatu anugerah, tetapi suatu amanah yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Oleh itu, setiap pemimpin wajib memohon bantuan Allah dalam menguruskan umat.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ

“Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat” [Surah al-Baqarah 153]

لَا يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلَّا الدُّعَاءُ

"Tidak boleh ditolak ketetapan Allah swt melainkan dengan doa" (HR Ahmad, Ibnu Majah dan at-Tirmizi)

♡Tunaikanlah amanah yang dipertanggungjawabkan dengan baik dan jujur. Jangan sesekali khianati amanah yang sedang digalas. Takutlah akan ancaman azab yang sedang menanti. Banyakkanlah memohon pertolongan dan bantuan Allah dalam menguruskan urusan umat ini♡

🐊Ust naim
TELEGRAM :
Sila klik link di bawah ini untuk JOIN👇:
https://t.me/tadabburkalamullah

FB PAGE
https://m.facebook.com/ustazmuhamadnaim

BLOG :
https://tadabburkalamullah.wordpress.com

No comments:

Post a Comment