Thursday, March 12, 2020

MALAYSIA KEHILANGAN SEORANG LAGI ULAMA

إنَّا ِللهِ وإنَّا إلَيْهِ رَاجِعُوْن​

أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَه وَارْحَمْه وَعَافِه وَاعْفُ عَنْه وَأَكْرِمْ نُزُلَه وَوَسِعْ مَدْخَلَه وَاغْسِلْه بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا ينقس الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْه دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِه ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِه وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْه الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْه مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وفتنته وَمِنْ عَذَابِ النَّار..

اللهم امين..

Takziah kepada keluarga Ust Abdullah Al Qari. Meninggal dalam kemalangan pagi tadi semasa dalam perjalanan menunaikan solat subuh.

Semoga keluarganya tabah menghadapi ujian ini dan semoga ditempatkan dikalangan para solihiin.aamiin...

BIODATA USTAZ ‘ABDULLAH AL-QARI HAJI SALLEH

Pengenalan

‘Abdullah Al-Qari ialah Guru Kreatif (1994), Tokoh Agama (Tokoh Hijrah Ar-Rasuul 2004)dan Tokoh Maulid Ar-Rasuul 2005), Pujangga Islam (2005) yang melahirkanbanyak dan berbagai karya berunsur Islam juga Tokoh Sunnah Nusantara (2005) yang melahirkan buku-buku berdasarkan Al-Qur’an dan As-Sunnah, salah seorang penggerak Sunnah Nabi SAW, pemurni (reformis) Islam menerusi buku di mana B u ku Guru Zaman.

Jika Hasaan B. Thaabit Al-Anshaari r. a. dikenal sebagai Penyair Nabi SAW, maka Abdullah Al-Qari tersohor Penulis Tuk Kenali dengan berbagai karya menarik.

Kelahiran

Beliau lahir pada pagi Ahad 23 Dzu Al-Qa’idah 1356 H. bersamaan 26 Disember 1937 M. diberi nama ‘Abdullah Al-Qari (Pembaca terutama Al-Qur’an) oleh anak saudara Tuk Kenali, Tuan Guru Hi.Muhammad Jebeng, empat tahun sesudah perginya Hj. Salleh tepi Jalan Kenali. Kenali, di Lot 1203 Kenali, Jalan Puteh, tidak jauh dari Maqam Tuk Kenali.

Pendidikan

Beliau dibesarkan dalam Pendidikan Islam, di mana bapanya Hj. Salleh B. Puteh (Ab.Latif) seorang Guru Al-Qur’an di Pondok Kenali, murid tua Tuk Kenali; demikian juga ibunya Hjh. Khadijah Bt. Abdullah, keluarga Tuk Kenali, mengajar Al-Qur’an kepada kanak-kanak di sebelah dapur rumahnya. Lokasi rumah di tepi Pondok Lorong Kubur Tuk Kenali menyebabkan beliau banyak dipengaruhi Pendidikan Pondok di samping Pendidikan Sekolah Melayu Kubang Kerian, Kota Bharu (1946-1951).
Bakat

‘Abdullah Al-Qari mula berminat membaca buku-buku serba bidang sejak di Darjah Lima Sekolah Rendah dengan membaca buku-buku Indonesia yang dipinjam daripad Gurunya, Cikgu Muhammad B. Abdullah dan buku-buku di bilik bacaan di sekolah termasuk buku Sains. Bakat beliau terserlah dikesan oleh gurunya, Cikgu Mahmud B. ‘Abbas semasa beliau di Darjah Tujuh (Sekolah Menengah Melayu Tuk Pasir Pertama di Kelantan) di Sekolah Melayu Kota (Jelasin) – 1952 yang memuji dan tertarik kepada hasil karangannya di peringkat sekolah. Beliau memperoleh Sijil Pangkat Satu bagi kedua sekolah tersebut.

Mendalami Islam

Beliau memasuki Pondok MadrasahAl-Ahmadiyyah Bunut Payung (1952) belajar pada Tuan Guru Hj. AbdullahTahir B. Hj. Ahmad akan Tafsir Al-Qur’an dan pada Ustadz Hj. Ab. Rahman Al-Khudhri B. Ibrahim akan Al-Hadith. Gurunya yang berasal dari Pahang ini memberi galakan menulis di bidang Agama. Mula membaca majalah-majalah Agama dengan cara meminjam dan cuba menulis. Pada sebelah pagi beliau belajar di Darjah Tujuh.

Awal 1953 beliau dilantik menjadi guru dalam usia 15 tahun dan bercanggah dengan hasratnya untuk menyambung pelajaran di Jaami’ Merbau, K.Bharu (sempat belajar sehari). Pada suatu malam, beliau bermimpi berhadapan dengan wajah Nabi SAW yang bersabda, “Anta belajarlah Islam!”

Beliau mula membeli kitab-kitab Arab dengan cara belajar sendiri dan berguru kepada murid-murid Tuk Kenali dan murid Tuk Khurasan (Ahli Hadith) dengan mempelajari Hadith,Ilmu Ushuul At-Tafsir, Ushuul Al-Fiqh dan lain-lain. Ya, dalam usia 15 tahun ini beliau mula menjadi guru, pengarang, penerbit (Pustaka ASA) dan pengedar. Kerja seharian beliau ialah mengajar dan mengarang buku sambil belajar Agama. Bila sesuatu tajuk sudah difahami dengan baik, maka dia dijadikan buku dan disebarkan.

Peningkatan llmu

Beliau berjaya memperoleh Sijil Kursus Persekolahan Melayu (T.U.O.S. : Perguruan – 1956) , Sijil Maktab Perguruan Bahasa ‘. Language Institute – 1959),SPM (1962); STP (penuh – 1974);juga Sijil Pra LINAS (Universitas Nasional Jakarta: Kuliah Bahasa dan Sastera- 1974) dan kelayakan masuk ke Pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri (Kuliah Usuluddin – 1974; seterusnya memasuki Universiti Malaya (1974-1977) dengan pencapaian Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian dan anugerah Mahasiswa Terbaik.

Demi mematuhi arahan Nabi SAW tadi, maka sejak umur 15 tahun mula mempelajari dan mengkaji Islam serta menulisnya menjadi buku-buku bernilai sehingga masih kini (berusia lebih 70 tahun) berjaya menghasilkan lebih 300 karya sendiri dan terjemahan dalam berbagai bidang pengajian Islam, perubatan, umum, bahasa dan sastera; juga sajak berunsur Islam dalam bentuk buku biasa, kamus dan ensiklopedia.
Kerana kegiatan yang agak luar biasa ini, maka penulis telah dianugerahkan:

1. Tokoh Guru Kreatif (Penulisan) Kelantan, 1990.
2. Tokoh Buku Kelantan,1994.
3. Tokoh Hijrah Ar-Rasuul Kelantan,2004.
4. Tokoh Guru Kelantan (JPN), 2004.
5. Tokoh Maulid Ar-Rasuul, Malaysia, 2005.
6. Tokoh Sunnah (I.Q.), Nusantara, 2005.
7. Tokoh Penulis Buku Islam, Malaysia,2007.
8. Tokoh Penulis Islam Terbaik, Serambi Mekah, 2008.
9. Tokoh pengkajian Al-Qur’an dan Al-Hadith (SIQAH),Nusantara, 2008.

Isteri beliau menerima anugerah “Tokoh Ibu Shaalihah Kelantan” (2005): Hjh. ‘Aisyah Bt. Hj.Ibrahim.

‘Abdullah Al-Qari telah berjaya mendirikan Masjid As-Sunnah dan Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Qari di Taman Al-Qari; juga “Pusat Kajian dan Sebaran Al- Qur’an dan As-Sunnah Nusantara” bertempat di Tingkat Satu Masjid As-Sunnah, Taman Al-Qari Istana Negeri Kelantan, Kubang Kerian berhadapan Istana Negeri Kelantan, Kubang Kerian.

Senarai buku tulisan dan terjemahan beliau di sini.

disalin dari kertas kerja Seminar Pencinta Buku 2010 anjuran Institus Terjemahan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Sedikit perkongsian kisah Allahyarham

Suatu hari, sewaktu kelasnya bermula, Ustaz Abdullah Al-Qari menegur aku tentang lengan baju kurung seragam sekolahku. Aku selalu melipat lengan baju kurung sehingga ke paras siku.

“Aurat.” Katanya. Aku terkelu kerana semua kawan-kawanku pun hairan dengan sikapku yang suka melipat lengan baju kurung sekolahku.

Firman Allah SWT yang bermaksud “Wahai nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya ( semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal sebagai perempuan yang baik-baik). Maka dengan itu mereka tidak diganggu, dan ingatlah Allah adalah maha pengampun, lagi maha mengasihi”. (Surah Al-Azab ayat :59)

Ustaz menambah lagi, “Kamu semua banyak melakukan kesilapan dan salah faham serta meringan-ringankan masalah aurat.”

Kami semua dengar dengan penuh minat. Remaja yang kehausan ilmu agama. Kami meneka yang kami akan ditembak beberapa das, tepat kena di sasaran.

“Kamu semua menganggap aurat adalah memakai tudung sahaja, bertudung tetapi masih mengenakan “T-shirt” berlengan pendek, berbaju sendat dan nipis.”

Benar, Semua kata-kata Ustaz itu membuka mata kami. Ketika kami  dalam latihan pendidikan jasmani atau latihan rumah sukan, kami hanya mengenakan “T-shirt” berlengan pendek. Memakai tudung tapi meninggalkan jambul di dahi. Kadang-kadang tudung nipis sehingga kelihatan jelas sanggul di dalamnya.
Setiap hari, selain daripada mengajar kami sejarah islam, ustaz ada menyelitkan tentang akidah.

“Jika orang bertanya apakah pegangan kamu semua, apa yang kamu nak jawab?”

Kami saling memandang. Setahu kami, kami orang islam, ibubapa kami islam jadi pegangan kami islamlah.

“Kamu harus jawab, ahli sunnah wal jamaah” Terang ustaz. Pesanan ustaz itu aku kenang dan ingat sehingga kini.

Apakah akidah ahli sunnah wal jamaah itu? Kata ustaz, ianya berlandaskan al-quran, al-hadis serta ijma’ para ulama. Aqidah ahli sunnah wal jamaah menyifatkan Allah dengan sifat-sifat yang dinyatakan sendiri oleh Allah dalam al-quran, dan apa yang dinyatakan oleh Rasulullah dalam hadis-hadis baginda SAW.

“Siapakah ahli sunnah wal jamaah?”

Kami semua menggeleng kepala. Kalau sebut nama artis penyanyi atau pelakun, kami tahulah. Remaja yang sedang leka bergelumang dengan hiburan.

“ ‘Kan ustaz ‘dah cakap tadi, ahli sunnah wal jamaah adalah mereka yang berpegang dengan aqidah yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW”

-Hazwan Aroff Hamidi

No comments:

Post a Comment