Wednesday, July 10, 2013

Ramadhan 1001 Rahmat

“Ia adalah bulan Ramadhan, bulan kesabaran kerana bersabar itu adalah syurga, bulan berkasih sayang dan bulan ditambahkan rezeki orang yang beriman”
Di negara kita makanan memang melimpah ruah.  Alhamdulillah! Setiap hari berbagai jenis makanan boleh didapati di bazar Ramadhan (sesuatu yang  tidak ada di Mesir).  Juadah berbuka kita pula melebihi hari-hari biasa.  Lebih-lebih lagi jika ada jiran tetangga yang bermurah hati menghulurkan juadah berbuka.  Kadang-kadang makanan lebih banyak dibuang kerana perut kita sudah tidak mampu menerima makanan yang banyak itu.  Akhirnya banyak pembaziran yang berlaku.  Alangkah ruginya…
Sedangkan sepatutnya Ramadhanlah yang boleh mendidik kita mengingati saudara-saudara kita yang sering kebuluran dan bagaimana menghargai makanan yang sedikit serta bersyukur dengan apa yang ada.
Bulan yang penuh dengan pintu-pintu ilmu dan kebaikan
“ Apabila tibanya bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu syurga, pintu-pintu kebaikan, ditutupkan pintu-pintu neraka, dibelenggu syaitan-syaitan” 
            Bagi pelajar-pelajar yang menuntut di Mesir, sepanjang bulan Ramadhan banyak kelas-kelas talaqi dan tafaquh fiddin untuk diikuti dari pagi, petang sampailah ke malam selepas terawih, betapa bulan yang penuh dengan pintu-pintu ilmu bagi mereka yang benar-benar cintakan ilmu.  Subhanallah!
            Mengikuti kelas talaqi di sebelah petang kadang-kadang menyebabkan kami kelewatan untuk pulang ke rumah anak negeri masing-masing.  Di pertengahan jalan azan maghrib mula berkumandang, waktu itu kami sangkakan kami akan terlewat berbuka puasa pada hari itu, namun Alhamdulillah rupa-rupanya bila azan berkumandang aka nada beberapa orang kanak-kanak yang membawa kotak kurma untuk diberikan kepada sesiapa yang masih di jalanan.  Walaupun hanya mendapat sebiji kurma, begitu terasa nikmat rezeki kurniaan Allah.  Alhamduluillah, besarnya rahmatMu ya Allah.
Bulan ibadah dan pahala dilipatgandakan
Saya kira hampir kesemua daripada kita dapat merasai limpahan rahmat daripada Allah s.w.t setiap kali tibanya bulan Ramadhan.  Contohnya walaupun kita tahu seseorang itu tidak solat tetapi dia tetap meraikan Ramadhan dengan berpuasa.  Walaupun mereka adalah golongan yang  tidak menutup aurat  tetapi kita dapati mereka pergi ke masjid-masjid untuk bersolat terawih.  Alhamdulillah…
Cuma, yang masih kurangnya kita ialah bagaimana kita menghidupkan Ramadhan itu dengan memperbanyakkan membaca dan mentadabur Al-Quran, bersedekah, member makan kepada faqir miskin, mengeluarkan zakat serta beribadah di malam hari.  Allah telah menjanjikan pahala yang berlipat ganda bagi mereka yang melakukan kebaikan di bulan Ramadhan.
“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan akan dibalasi dengan pahala seperti mengerjakan fardhu di bulan-bulan lain.  Manakala yang mengerjakan fardhu akan digandakan seperti mengerjakan 70 kali fardhu di bulan-bulan lain”   (HR Ibnu Khuzaimah)
Bulan diturunkan Al-Quran
“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelasan bagi petujnuk itidan sebagai pembeza antara petunjuk (hak) dan batil"
Di negara kita Malaysia, susah sekali untuk melihat masyarakat kita membudayakan membaca Al-Quran.  Di hentian-hentian bas atau di tempat-tempat awam susah sekali untuk melihat anak-anak kita membaca Al-Quran.  Mereka lebih suka membaca komik dan majalah hiburan.  Sepatutnya bulan yang diturunkan Al-Quran inilah kita berlumba-lumba untuk mengkhatamkan Al-Quran sbanyak mungkin serta mentadabur maknanya.  Sayangnya sesetengah ibubapa tidak memberi galakan kepada anak-anak mereka untuk terus membaca Al-Quran. Bahkan ada yang tak kisah langsung anak-anak mereka menghabiskan masa dengan menonton televisyen.  Alangkah ruginya beribu-ribu pahala sedang menanti di setiap huruf Al-Quran dibiar begiru saja.
Berlainan pula suasana di tanah arab, di mana saja pasti ada yang memegang mushaf (Al-Quran) tidak kira tua atau muda (walaupun tidak semua).  Alangkah sejuknya hati melihat suasana ini.  Mudah-mudahan generasi kita yang akan datang bakal menghidupkan suasana ini InsyaAllah.  Amin ya Rabb…
Bulan berdoa

“Wahai manusia kamu dinaungi oleh bulan yang penuh keberkatan yang mana bulan yang ada di dalamnya malam yang lebih baik daripada seribu bulan” ”   (HR Ibnu Khuzaimah)
Kalau nak diceritakan semua kebaikan bulan Ramadhan ini tak tertulis rasanya.  Namun, satu perkara yang kita harus sentiasa buat ialah memperbanyakkan berdoa.
Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan, pada malam itu turun para malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah malam itu sampai terbit fajar. ( Al-Qadr: 3-5)
Subhanallah! “Sejahteralah malam itu sampai terbit fajar” itulah janji Allah bagi hambanya yang bangun di malam hari yang beribadah dengan penuh keimanan dan pengharapan.  Para malaikat pula turun untuk mengatur semua urusan. Allahuakbar! Mudah-mudahan kita termasuk di dalam hamba-hambaNya yang akan mendapat keistimewaan ini. InsyaAllah…
Sebagaimana yang kita ketahui waktu sepertiga malam iaitu sekitar jam 2 hingga 4pagi, sewaktu insan lain lena diulit mimpi adalah antara waktu yang paling mustajab untuk berdoa. Justeru, marilah sama-sama kita ringankan badan kita untuk bangun mengadap ilahi  di malam hari mencari satu malam yang Allah janjikan lebih baik daripada seribu bulan, malam yang setiap doa akan terus diangkat ke sidratul muntaha dan diperkenankan oleh Allah s.w.t
Selain itu, waktu lain yang boleh kita berdoa ialah waktu ketika kita berbuka puasa.  Oleh yang demikian, perpanjangkanlah doa kita.  Bukan sekadar membaca doa makan tetapi berdoalah agar kita terus diberi hidayah Allah, agar ditetapkan iman kita, dilimpahkan rezeki atau apa saja yang kita hajati. Berdoa…berdoa…dan berdoalah!
Untuk akhirnya, marilah sama-sama kita tingkatkan ibadah kita, solat tahajud kita, tilawah kita agar kita terpilih untuk bertemu dengan malam sejuta berlian ini dan jangan lupa untuk sentiasa berdoa.  Berdoa untuk kita, keluarga kita dan kemenangan umat Islam. Moga-moga Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun lalu. 
Selamat mencari lailatul qadar…
“Aku hanya bermaksud untuk islah (memperbaikan) selagi mana aku masih terdaya.  Tidak akan ada petunjuk itu melainkan dari Allah” (Hud:88)
Benarlah kata-kata Allah yang maha Agung.

Sentuhan kalam,
SITI NORASHIDAH MOHD NOR
Tenaga pengajar, Sek.Men.Islam Al-Amin,
Kemaman, Terengganu.
 19 Ramadhan 1430H

No comments:

Post a Comment