Tuesday, July 9, 2013

Adab-adab Dan Amalan Sunat Ketika Puasa

Adab-adab Dan Amalan Sunat Ketika Puasa
By  | July 22, 2012 at 1:43 pm | No comments | Fekah & Ibadah
Amalan-amalan sunat ketika puasa. Antaranya:
1)   Sahur
Sahur merupakan amalan sunat yang sangat dituntut oleh agama. Tuntutan ini banyak 
dirakamkan di dalam hadis-hadis yang sahih. Antaranya:
Hadis daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Bersahurlah kamu,
 sesungguhnya pada sahur itu mempunyai barokah (kebaikan).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis daripada Amru bin al-Ash RA, Nabi SAW telah bersabda: “Membezakan antara puasa
 kita dan puasa ahli kitab (beriman pada Allah dahulu) adalah pada makan sahur.”
 (Riwayat Muslim)
Hadis daripada Abdullah bin Amru RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Bersahurlah kamu 
walaupun dengan seteguk air.” (Riwayat Ibnu Hibban: Hadis Hasan)
Hadis daripada Abu HUrairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Nikmat sahur al-Mukmin
 adalah makan tamar.” (Riwayat Ibnu Abu Daud dan Ibnu Hibban: Sahih)
Itu adalah sebahagian daripada kelebihan bersahur. Jika kita lihat dari segi kesihatan juga ia
 amat baik, kerana kita akan menempuh tempoh puasa yang agak lama, maka tenaga yang
 cukup pada permulaan puasa adalah perkara yang sangat baik di samping dapat melakukan
 kerja-kerja seharian dengan baik sepanjang tempoh berpuasa.
2)   Melambatkan Sahur
Waktu sahur yang paling afdhol adalah waktu yang agak hampir dengan waktu azan subuh. 
Tetapi tidak boleh lebih daripada selepas masuk waktu subuh, jika sudah masuk waktu subuh,
 maka kena berhenti makan.
Jika ada air di tangan yang tidak sempat untuk minum, atau makanan masih ada dalam mulut, 
maka boleh baginya untuk menghabiskan air tersebut sekadar keperluannya dan juga makanan 
yang berada di mulut tadi. Ini adalah berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah bahawa 
Nabi SAW bersabda: “Jika seorang daripada kamu mendengar azan, dan cawan berisi air 
masih ada di tangan, maka jangan letak sehingga selesai hajatnya.”
 (Rwayat Abu Daud dan Al-Hakim: Sahih)
Juga hadis daripada Unaisah binti Habib RA, Nabi SAW bersabda:  “Apabila Ibnu Ummi 
Maktum azan, maka boleh lagi makan dan minum, dan apabila Bilal azan (azan kedua), maka 
 tidak boleh lagi makan dan minum.” (Riwayat An-nasa’I, Ibnu Hibban dan Imam Ahmad: Sahih)
Berdasarkan hadis tadi, kita dibenarkan untuk makan dan minum sehingga masuk waktu azan 
subuh. Jika dengar sahaja azan, maka saat itu berhenti daripada makan dan minum. Di sini menunjukkan
 bahawa Nabi SAW bersahur pada waktu hampir hendak masuk waktu azan subuh.
3)   Mengawalkan berbuka puasa
Afdhal bagi orang yang berpuasa mengawalkan waktu berbuka. Apabila azan berkumandang, 
maka boleh terus berbuka puasa. Jangan lagi tunggu berbuka di tengah-tengah waktu azan, 
atau pun di akhir azan. Jika kita menunggu di tengah-tengah laungan azan, itu juga sudah dikira
 lewat kata ulama’. Justeru, berbukalah semasa takbir yang pertama seusai membaca doa.
Kelebihan ini berdasarkan hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Sahal bin Saad RA 
bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak hilang pada seseorang itu kebaikan selagi mana dia mengawalkan 
waktu berbuka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
4)   Berbuka dengan memakan buah tamar terlebih dahulu
Berbuka dengan buah tamar atau kurma adalah sunnah perbuatan Nabi SAW, paling sedikit 
pun jika tiada buah tamar, pasti baginda akan meminum air dan selepas itu baru solat, ia bagi 
menandakan bahawa nabi mengawalkan waktu berbuka. Tetapi jika tiada buah tamar, makanlah 
apa-apa sahaja buah 
yang manis, yang mudah untuk  dapatkannya jika sukar untuk dapatkan buah
 tamar.
Ini berdasarkan hadis daripada Anas RA: “Baginda SAW akan berbuka puasa dengan 
beberapa biji rutob sebelum menunaikan solat, jika tiada rutob, maka nabi akan memakan 
beberapa biji tamar, jika tiada, nabi saw akan minum air dengan beberapa tegukan.”
 (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi : Hasan)
Di sini menunjukkan bahawa Nabi SAW mencari perkara yang lebih afdhal dahulu iaitu berbuka,
 kemudian baru baginda tunaikan solat. Sama juga dengan keadaan kita hari ini, jika makanan
 sudah terhidang, maka lebih afdhal kita makan terlebih dahulu, kemudian baru tunaikan solat.
5)   Doa ketika berbuka puasa
Selain kita mengamalkan doa yang sahih daripada Nabi SAW, kita juga dibenarkan untuk
 berdoa dengan apa-apa sahaja doa yang kita kehendaki, bulan Ramadan ini, kita harus 
memperbanyakkan doa pada setiap keadaan dan ketika. Kerana bulan ini adalah bulan ibadah,
 setiap detik dan saat diperuntukkan untuk beribadah kepada Allah SWT.
Nabi SAW membaca doa ini ketika berbuka:
ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: “Telah hilangnya dahaga, dan telah basahlah tekak, dan telah ditetapkan ganjaran
 jika dikehendaki oleh Allah SWT.” (Riwayat Abu Daud dan An-Nasai’: Disahihkan oleh al-Bani)
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”
(Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani 
dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).
6)   Pemurah
Kita sering digalakkan untuk menjadi pemurah. Jadilah pemurah mengikut kemampuan yang 
ada pada kita, jika kita ada tenaga, kita bantu orang lain menggunakan tenaga kita, jika kita 
ada harta, kita gunakan harta kita untuk kurangkan beban orang lain serta perkara-perkara 
manfaat yang lain. Kita jangan fikir bahawa hidup di dunia ini, apa sahaja kita beri, kita inginkan
 balasan. Kita perlu juga fikir untuk memberi dalam kehidupan yang singkat ini.
Orang yang paling pemurah di dunia ini adalah Nabi SAW, ini berdasarkan hadis daripada
 Ibnu Abbas RA: “Nabi SAW adalah paling pemurah bagi sekalian manusia.” 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita lihat bagaimana pengorbanan Nabi SAW kepada umatnya. Tiada inginkan balasan
 sentiasa, tetapi mengharapkan rahmat Allah SWT.
7)   Sentiasa memperelokkan/memperbaiki bacaan al-Quran
Apabila kita melihat aktiviti harian Nabi SAW ketika di bulan Ramadan, setiap hari baginda
 akan tadarus al-Quran bersama Malaikat Jibril AS. Ini merupakan aktiviti yang sangat baik, 
walaupun Nabi SAW merupakan seorang Rasul, yang mana darjatnya lebih tinggi daripada 
Jibril, tetapi baginda tetap merendahkan diri untuk belajar dan tadarus al-Quran bersama 
Jibril AS.
Itu adalah kebaikan tadarus, apabila kita berada di bulan-bulan lain barangkali kita sibuk 
dengan urusan seharian, maka kita sering membaca al-Quran seorang diri. Kita tidak tahu
 bacaan kita mana yang betul, mana yang terkurang dan mana yang salah. Tetapi apabila kita
 bertadarus bersama sahabat-sahabat yang lain, ada juga orang yang ingin menegur bacaan
 kita seadanya. Kita hidupkan sekolah al-Quran di bulan Ramadan ini, supaya di dalam 
peningkatan umur ini, bacaan kita sentiasa bertambah baik.
8)   Menghindarkan diri daripada perbuatan yang lalai dan maksiat
Di dalam sekolah Ramadan ini, kita disuruh untuk menjaga lidah kita daripada bercakap 
perkara yang sia-sia, menipu, mengumpat, mengadu domba, mencela, mengutuk, menjatuhkan
 maruah orang lain, dan sebagainya. Demikian juga pada anggota-anggota yang lain, kita perlu
 jaganya dengan sebaik mungkin daripada perkara yang haram.
Inilah rahsia di dalam Ramadan, mentarbiyah kita supaya menjadi orang yang bertaqwa yakni
 takut pada Allah pada setiap saat dan ketika. Untuk mencapai darjat ini, kita perlu usaha dalam
 sebulan ini dengan sebaiknya, kerana dengan izin Allah pasti diri kita akan sentiasa kuat
 apabila berada selepas sebulan Ramadan, di saat musuh-musuh ketat kita iaitu Syaitan tidak
 lagi dibelenggu.
Rahsia ini ada disebut di dalam firman Allah SAW yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang
 beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu 
daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (al-Baqaroh ayat 183)
Juga Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Jika salah seorang
 daripada kamu berpuasa, maka janganlah dia mencarut, bertelingkah, dan bersikap bodoh.
 Sekiranya ada orang mencerca atau ingin memeranginya (orang berpuasa), maka katakanlah : 
Sesungguhnya aku ini puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sunat bagi orang yang berhadapan dengan golongan yang disebutkan di atas, dia menyebut 
yang dia sedang berpuasa. Hukum ini boleh diguna pakai pada puasa sunat.





No comments:

Post a Comment