Friday, January 26, 2018

CABARAN DAKWAH NABI MUHAMMAD

Peristiwa Selepas Perang Tabuk :  Kematian Abdullah Bin Ubay

Pada bulan Zulkaedah tahun ke 9 Hijrah Abdullah bin Ubay sakit tenat. Beliau telah menyebut-nyebut nama Rasulullah s.a.w ketika beliau sakit. Kemudiannya Baginda pergi menziarahinya lalu Abdullah bin Ubay telah meminta agar Baginda solatkan jenazahnya sekiranya beliau meninggal dunia. Bayangkan seorang munafik yang sepanjang hidup di Madinah beliau tidak pernah rasa tenang melihat Baginda kini merayu agar jenazahnya disolatkan oleh Rasulullah s.a.w.

Setelah beliau meninggal dunia anaknya iaitu Abdullah bin Abdullah bin Ubay datang ke rumah Rasulullah s.a.w memaklumkan kematian ayahnya dan meminta Baginda solatkan jenazah bapanya seperti yang diwasiatkan. Rasulullah s.a.w pergi untuk solatkan jenazah Abdullah bin Ubay namun apabila tiba Umar al-Khattab sangat tidak setuju dan melarang agar Baginda tidak solatkan jenazah orang munafik.

Baginda seorang yang sangat lembut hatinya tetap juga meneruskan solat atas jenazah Abdullah bin Ubay ini. Sifat Baginda terlalu hebat bayangkan perangai Abdullah bin Ubay yang menjadi talibarut memfitnah Aisyah, mengundurkan tentera muslimin di medan Uhud, memecah belahkan umat Islam, merancang untuk mengagalkan segala usaha dakwah, menyampaikan maklumat kepada musuh di kalangan Yahudi dan pelbagai lagi tindakan yang menyakitkan hati Baginda dan para Sahabat jenazahnya tetap disolatkan oleh Rasulullulah s.a.w.

Tindakan Baginda ditegur oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam al Quran,

اسْتَغْفِرْ لَهُمْ أَوْ لَا تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ إِن تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَن يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Maksudnya : (Orang-orang munafik itu) sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya dan Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik. (Surah Taubah 9:80)

Seterusnya Baginda mengiringi jenazahnya ke kubur sehingga dikebumikan. Tindakan ini juga ditegur oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya di dalam al-Quran,

وَلَا تُصَلِّ عَلَىٰ أَحَدٍ مِّنْهُم مَّاتَ أَبَدًا وَلَا تَقُمْ عَلَىٰ قَبْرِهِ ۖ إِنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَاتُوا وَهُمْ فَاسِقُونَ

Maksudnya : Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka). (Surah Taubah 9:84)

Inilah yang pertama dan terakhir Baginda solat dan iringi jenazah orang munafik. Selepas turunya wahyu yang melarang maka Baginda tidak lagi melakukannya. Sebagai manusia Baginda sangat berlemah lembut dan tetap mengharapkan keampunan Allah SWT walaupun terhadap orang yang banyak menyakiti dan menyusahkan Baginda. Namun sebagai seorang Rasul, Baginda sentiasa taat dan mematuhi perintah Allah SWT dengan meletakkan wahyu di tempat yang tertinggi.



Ust. Sabir
26hb. Jan 2018

9 Jamadil Awal 1439H

No comments:

Post a Comment