Puasa Ramadhan adalah tetamu, siapa yang melayannya dengan baik maka berjayalah puasanya. Sebelum tetamu ini pergi meninggalkan kita, Allah akan memberi satu hadiah yang istimewa iaitu Lailatul Qadar. Selepas ini (Ramadhan), tiada lagi gandaan pahala ibadat misalnya gandaan 70 kali ganda bagi setiap amalan sunat. Selepas ini amalan diganda mengikut kadar biasa.
Apabila Rasulullah s.a.w. menceritakan tentang bagaimana Bani Israel berjihad dan mengangkat pedangnya selama 83 tahun, para sahabat merasa dukacita dan terkilan mengenangkan mereka tidak mampu berbuat demikian. Maka Allah menghadiahkankan malam ini kepada kita umat Muhammad s.a.w.
Allah memberikan hadiah Lailatul Qadar ini bagi mempermudahkan kita memasuki Syurganya. Allah ingin mewariskan Syurga ini kepada kita sepertimana tanah yang diwariskan oleh mereka yang telah meninggal dunia: al-A’raf [43]… “Dan mereka diseru: Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan.”
Lailatul Qadar ini adalah malam yang sangat mulia, ia diberi perhatian khusus oleh Allah s.w.t sehingga dilipatgandakan pahala sehingga 1,000 bulan. Apa jua ibadat yang dilakukan ketika itu samada bertasbih, sembahyang sunat, membaca quran bahkan berfikir tentang kebesaran Allah juga digandakan 1,000 bulan atau 84 tahun. Sayyidina Abu Bakar r.a. memikirkan bagaimana caranya menutup Neraka agar manusia tidak terjatuh ke dalamnya, maka kata Rasulullah s.a.w. “Pemikiran kamu ini umpama beribu tahun ibadat”.
Cari dan dapatkanlah malam yang boleh menaikkan makam atau pangkat kedudukan kita di Akhirat nanti. Ia adalah hadiah dan percuma daripada Allah yang Maha Pemurah. Allah itu Pemurah pada setiap masa bukan seperti kita yang hanya pemurah bila banyak wang sahaja.
Jikalau mendapat Lailatul Qadar, bersedekahlah kepada mereka yang memerlukan kerana ia adalah satu hadiah daripada Allah sebelum Ramadhan pergi meninggalkan kita. Tangisilah pemergian tetamu Ramadhan yang akan pergi meninggalkan kita di saat kita cuba untuk rapat dengannya dan dapatkanlah hadiah Lailatul Qadar sebelum ia berlalu pergi.
هَـٰذَا هُدًى ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ لَهُمْ عَذَابٌ مِّن رِّجْزٍ أَلِيمٌ
Al-Quran ini ialah hidayah petunjuk yang cukup lengkap; dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Surah al-Jathiyah 45: Ayat ke 11)
Al-Quran ini ialah hidayah petunjuk yang cukup lengkap; dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Surah al-Jathiyah 45: Ayat ke 11)
No comments:
Post a Comment