Tuesday, July 22, 2014

Ramadhan-hampir-pergi-hadiah-menanti

Puasa Ramadhan adalah tetamu, siapa yang melayannya dengan baik maka berjayalah puasanya. Sebelum tetamu ini pergi meninggalkan kita, Allah akan memberi satu hadiah yang istimewa iaitu Lailatul Qadar. Selepas ini (Ramadhan), tiada lagi gandaan pahala ibadat misalnya gandaan 70 kali ganda bagi setiap amalan sunat. Selepas ini amalan diganda mengikut kadar biasa.
Apabila Rasulullah s.a.w. menceritakan tentang bagaimana Bani Israel berjihad dan mengangkat pedangnya selama 83 tahun, para sahabat merasa dukacita dan terkilan mengenangkan mereka tidak mampu berbuat demikian. Maka Allah menghadiahkankan malam ini kepada kita umat Muhammad s.a.w.
Allah memberikan hadiah Lailatul Qadar ini bagi mempermudahkan kita memasuki Syurganya. Allah ingin mewariskan Syurga ini kepada kita sepertimana tanah yang diwariskan oleh mereka yang telah meninggal dunia: al-A’raf [43]… “Dan mereka diseru: Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan.”
Lailatul Qadar ini adalah malam yang sangat mulia, ia diberi perhatian khusus oleh Allah s.w.t sehingga dilipatgandakan pahala sehingga 1,000 bulan. Apa jua ibadat yang dilakukan ketika itu samada bertasbih, sembahyang sunat, membaca quran bahkan berfikir tentang kebesaran Allah juga digandakan 1,000 bulan atau 84 tahun. Sayyidina Abu Bakar r.a. memikirkan bagaimana caranya menutup Neraka agar manusia tidak terjatuh ke dalamnya, maka kata Rasulullah s.a.w. “Pemikiran kamu ini umpama beribu tahun ibadat”.
Cari dan dapatkanlah malam yang boleh menaikkan makam atau pangkat kedudukan kita di Akhirat nanti. Ia adalah hadiah dan percuma daripada Allah yang Maha Pemurah. Allah itu Pemurah pada setiap masa bukan seperti kita yang hanya pemurah bila banyak wang sahaja.
Jikalau mendapat Lailatul Qadar, bersedekahlah kepada mereka yang memerlukan kerana ia adalah satu hadiah daripada Allah sebelum Ramadhan pergi meninggalkan kita. Tangisilah pemergian tetamu Ramadhan yang akan pergi meninggalkan kita di saat kita cuba untuk rapat dengannya dan dapatkanlah hadiah Lailatul Qadar sebelum ia berlalu pergi.
هَـٰذَا هُدًى ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ لَهُمْ عَذَابٌ مِّن رِّجْزٍ أَلِيمٌ
Al-Quran ini ialah hidayah petunjuk yang cukup lengkap; dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Surah al-Jathiyah 45: Ayat ke 11)

Rahsia Lailatul Qadar Menurut Ihya' 'Ulumiddin

Dan Malam Al-Qadar adalah malam yang terbuka padanya sesuatu dari alam malakut. Dan itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah Ta’ala:

“Sesungguhnya Kami turunkan pada Malam Al-Qadar.” (Al-Qadr : 1)

Barangsiapa menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan, maka dia terhijab daripada-Nya. Dan barangsiapa mengosongkan perutnya, maka yang demikian itu belum mencukupi untuk mengangkatkan hijab, sebelum kosong cita-citanya daripada selain Allah ‘Azza wa Jalla. Dan itulah urusan seluruhnya. Dan pangkal semuanya itu adalah dengan menyedikitkan makanan.

Begitulah kata-kata Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’nya.

HURAIAN
Alam malakut secara ringkasnya ialah alam ghaib yang antara penghuninya ialah para malaikat. Alam ini terhijab daripada pandangan bangsa jin dan manusia, sebagaimana alam jin terhijab kepada pandangan manusia. Menurut Imam Al-Ghazali, sebahagian daripada alam malakut ini terbuka pada Malam Al-Qadar.

Sabda baginda Rasulullah saw :
“Jikalau tidaklah kerana syaitan-syaitan itu berkeliling atas hati anak Adam, nescaya anak-anak Adam melihat ke alam malakut yang tinggi.” (Ahmad)

Sebelum melanjutkan huraian ini, hendaklah kita fahami bahawa “mendapat” Lailatul Qadar itu sekurang-kurangnya ada 4 jenis :

1. Dapat tahu bila Malam Al-Qadar berlaku
2. Dapat kelebihan Malam Al-Qadar
3. Dapat tahu bila Malam Al-Qadar dan dapat kelebihannya.
4. Dapat tahu, dapat kelebihannya dan dapat ‘menyaksikan’ Malam Al-Qadar itu.

Dapat tahu Malam Al-Qadar adalah dengan terjumpa perkara yang pelik-pelik. Antara kejadian yang biasa dikisahkan orang adalah seperti terlihat begitu banyak tahi bintang berguguran, air tasik tidak berkocak, pokok-pokok merendahkan diri, kecerahan di mana-mana, orang yang kacak berserban dan berjubah putih lagi bercahaya tubuhnya, alam terlalu sunyi, tercium bau yang sangat wangi dan pelbagai lagi.

Ada kemungkinan dengan menemui hal-hal sebegini bermaksud malam itulah Malam Al-Qadar, dan ada kemungkinan juga bukan Malam Al-Qadar. Namun ‘dapat Lailatul Qadar’ pada pandangan kebanyakan orang adalah dengan dapat melihat atau mengalami perkara yang ajaib-ajaib seperti yang disebutkan tadi. Perkara-perkara sebegitulah yang dicari-cari dan dikejar-kejar oleh mereka. Jika berjaya melihat atau mengalami sesuatu yang luar biasa pada malam itu, bukan main puas hati dan kadang-kadang sampai ke tahap berbangga dengan orang lain yang gagal memperolehinya. Padahal “dapat Lailatul Qadar’ seperti itu bukanlah ‘dapat lailatul Qadar’ sebagaimana yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw.

Jenis kedua – dapat kelebihan Malam Al-Qadar. Jenis inilah yang dikehendaki oleh Rasulullah saw, iaitu dengan meningkatkan keimanan dan membanyakkan amal pada malam-malam Ramadhan, dan kebetulan perlakuan itu bertepatan dengan malam yang berlakunya Malam Al-Qadar. Dapat kelebihan Malam Al-Qadar tanpa mengetahui yang malam itu adalah Malam Al-Qadar, adalah jauh lebih baik daripada dapat tahu malam itu Malam Al-Qadar tetapi tidak menghabiskan masa untuk meningkatkan keimanan dan membanyakkan amal padanya.

“Adalah Rasulullah saw apabila masuk sepuluh (hari) yang akhir, maka (baginda) melipatkan tikar (menyimpan tempat tidurnya), mengikatkan pinggang dan telah membiasakan diri dan keluarganya sebegitu.” (Bukhari, Muslim)

Jenis ketiga – inilah yang lebih baik, iaitu dengan mengerjakan amal pada malam itu dan mengetahui yang malam itulah Malam Al-Qadar.

Jenis keempat? Ikuti huraian di bawah.

Imam al-Ghazali dan orang-orang soleh lain pada zamannya punya banyak pengalaman tentang Lailatul Qadar. Oleh itu Imam Al-Ghazali memberikan tips kepada kita untuk bertemu dengan Malam Al-Qadar. Tips yang diutarakan olehnya di sini adalah dengan menyedikitkan makanan melalui istilah yang digunakannya iaitu “mengosongkan perutnya”. Sesiapa yang banyak makan pada malam itu sebagaimana istilah yang digunakannya iaitu “menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan”, nescaya orang itu terhijab/ terdinding daripada mendapat Lailatul Qadar.

Kata Al-Ghazali : “Bahawa tidak membanyakkan makanan yang halal ketika berbuka, di mana rongganya penuh melimpah. Maka tidak adalah karung yang lebih dimarahi Allah ‘Azza wa Jalla daripada perut yang penuh dengan (makanan) yang halal.”

Berdasarkan petua ini, maka para pencari Lailatul Qadar hendaklah makan sekadarnya sahaja pada waktu malam bulan Ramadhan, dari waktu berbuka hinggalah ke sahur. Antara amalan yang tidak sesuai pada pandangan Imam Al-Ghazali adalah sengaja berbuka puasa dengan pelbagai jenis makanan pada setiap hari. Perlakuan ini tidak ubah seperti mengumpulkan sarapan, minum pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam untuk di makan sekaligus pada waktu Maghrib. Cuba lihat juadah berbuka kita, bukankah semua makanan yang disebutkan itu ada? Apalah ertinya puasa sebegini? Berbukalah dengan makan malam yang biasa kita makan pada malam-malam bukan Ramadhan.

Al-Ghazali juga memperingatkan kita agar tidak memuaskan nafsu makan dengan memakan makanan yang tidak kita makan pada bulan-bulan lain. Maksudnya pada setiap hari ada saja makanan dan kuih-muih yang sukar kita temui pada hari-hari biasa, tetapi kita mencarinya pada bulan Ramadhan.

Tidak mengapa jika sesekali kita melebihkan juadah untuk menggembirakan sedikit hati kita terutamanya kanak-kanak, para muallaf, orang yang sedang kita dakwahkan dan orang yang baru belajar-belajar hendak memperbaiki keagamaannya.

Hal-hal yang disebutkan inilah yang dimaksudkan oleh Al-Ghazali dengan kata-katanya : “Bagaimanakah dapat memperolehi faedah daripada puasa, memaksakan (menyusahkan) musuh Allah (syaitan) dan menghancurkan hawa nafsu, apabila diperoleh oleh orang yang berpuasa ketika berbuka apa yang tidak diperolehnya pada siang hari? Kadang-kadang bertambah lagi dengan pelbagai macam warna makanan, sehingga berjalanlah kebiasaan dengan menyimpan segala macam makanan itu untuk bulan Ramadhan. Maka dimakanlah segala makanan itu dalam bulan Ramadhan, apa yang tidak dimakan dalam bulan-bulan (lain) ini.”

Katanya lagi : “Maka jiwa dan rahsia puasa ialah melemahkan kekuatan yang menjadi jalan syaitan dalam mengembalikan kepada kejahatan. Dan yang demikian itu tidak akan berhasil selain dengan menyedikitkan makanan, iaitu dengan memakan makanan yang dimakan setiap malam kalau tidak berpuasa. Apabila dikumpulkan apa yang dimakan pada pagi hari kepada apa yang dimakan pada malam, maka tidaklah bermanfaat dengan puasanya itu.”

Bayangkan, dari pagi hingga ke petang kita kosongkan perut. Semakin lama semakin lapar. Pada waktu berbuka, tahap kelaparan dan keinginan kita mencapai kemuncaknya, lebih hebat daripada kelaparan dan keinginan pada hari-hari biasa. Tiba-tiba dalam keadaan sebegitu, kita lambakkan dengan pelbagai makanan dan minuman yang lazat-lazat di depan mata. Akibatnya, lebih kuatlah rasa lapar dan melonjaklah nafsu makan. Akhirnya, kita makan dengan lebih bernafsu lagi berbanding makan pada hari-hari yang tidak berpuasa. Ke mana perginya puasa dan Ramadhan yang berperanan sebagai penunduk hawa nafsu?

Inilah maksud kata-kata Imam Al-Ghazali : “Apabila perut ditolak (dikosongkan) daripada makanan sejak pagi sampai ke petang, sehingga perut itu bergolak keinginannya dan bertambah kuat kegemarannya (keinginannya untuk makan), kemudian disuguhkan (dihidangkan) dengan makanan yang lazat-lazat dan kenyang, nescaya bertambahlah kelazatan dan berlipatgandalah kekuatannya, serta membangkitkan nafsu syahwat itu, apa yang diharapkannya tadi tenang, jikalau dibiarkan atas kebiasaannya.”

Berbalik kepada Malam Al-Qadar. Dikatakan tadi malam yang sangat istimewa itu terhijab daripada kita hasil banyaknya makan pada waktu malam. Terhijab yang dimaksudkan di sini ada dua jenis :

1. Terhijab daripada ‘menyaksikan’ malam itu kerana penuhnya makanan membenakkan mata hati. Umumnya mata hati yang benak tidak akan mampu melihat alam malakut ataupun kesan-kesannya.

2. Terhijab daripada membanyakkan amal pada malam itu kerana perut yang kenyang mewariskan lemah badan, mengantuk dan malas. Malam istimewa itu pun berlalu begitu sahaja kerana pengisian kita dipenuhi dengan banyak berehat dan tidur.

Alangkah ruginya jika kita sendiri yang menghijab Lailatul Qadar itu, padahal kita sering mendakwa kita rindu, ternanti-nanti dan tercari-cari malam berlangsungnya.

Oleh itu, tindakan yang mesti kita ambil untuk 10 malam terakhir Ramadhan, dan sepatutnya pada seluruh Ramadhan, adalah dengan menyedikitkan makan. Bagaimana itu? Mestikah kita berlapar siang dan berlapar pula pada malamnya? Tidak! Pada waktu malam, makan dan minumlah sekadar untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaga, bukannya sampai kenyang dan puas. InsyaAllah dengan kaedah ini, semakin cerah peluang kita untuk bertemu dengan Malam Al-Qadar, menghidupkannya, malah ‘menyaksikannya’.

Al-Ghazali mengatakan : “Maka semoga syaitan tidak mengelilingi hatinya (hati manusia dan jin), lalu dapat ia memandang ke alam tinggi.”

Namun begitu, dengan menyedikitkan makanan sahaja belum memadai. Kata Al-Ghazali : “Barangsiapa menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan, maka dia terhijab daripada-Nya. Dan barangsiapa mengosongkan perutnya, maka yang demikian itu belum mencukupi untuk mengangkatkan hijab, SEBELUM KOSONG CITA-CITANYA DARIPADA SELAIN ALLAH ‘AZZA WA JALLA. Dan itulah urusan seluruhnya. Dan PANGKAL SEMUANYA ITU adalah dengan menyedikitkan makanan.”

Dengan tasawuf, Ramadhan anda akan lebih bererti lagi bermanfaat untuk dunia dan akhirat.

WaAllahua’lam.

Abu Zulfiqar
21 Ogos 2011 / 21 Ramadhan 1432

Lailatul Qadar Mengikut Panduan Imam Al-Ghazali

Berbicara mengenai Ramadan sudah tentu topik al-Quran menjadi perkara biasa yang diperkatakan. Ini kerana dalam bulan inilah Allah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk yang benar untuk umat manusia.
Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud, “Ramadan bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).”
Dalam surah al-Qadr ayat pertama Allah berfirman bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan.”
Jelaslah melalui kedua-dua ayat berkenaan malam lailatul qadar itu pada Ramadan yang menjadikan bulan mulia ini ditunggu-tunggu oleh orang yang beriman untuk bertaqarrub kepada Allah demi menemui malam itu. Melalui surah al-Qadr ayat 2-5 Allah menyatakan, “Dan tahukah kamu, apa malam qadar itu? Malam qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, malaikat dan malaikat Jibril turun dengan izin Tuhan untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai fajar terbit.”
Demikian mulianya malam qadar itu. Sesiapa menemuinya dianggap insan yang beroleh keuntungan kerana segala amal ibadah sepanjang malam berkenaan akan diberikan ganjaran pahala melebihi malam lain.
Oleh itu, kita mesti berusaha bersungguh-sungguh mencari malam qadar secara konsisten sepanjang Ramadan. Tidak perlu menunggu sepuluh malam terakhir baru hendak bersungguh-sungguh beribadah sedangkan malam sebelumnya kita sambil lewa saja.
Jika hal itu terjadi, kesungguhan kita tidak ditemukan Allah kepada lailatul qadar. Ini kerana lailatul qadar untuk orang beriman, bertakwa dan beramal ibadah secara konsisten sepanjang Ramadan dan bulan sebelumnya.
Oleh itu, sebagai memenuhi hasrat dan keinginan untuk menemui malam lailatul qadar itu, kita mesti sentiasa melaksanakan amal ibadah dengan kekuatan hati tanpa mengira sama ada di awal, pertengahan mahupun di akhir Ramadan. Yang penting kita berazam dan terus menunaikan semua ibadah fardu dan sunat dengan keyakinan padu demi mengharapkan keredaan Allah.
Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Pada malam al-Qadar, Jibril a.s turun diiringi malaikat lain sambil memohon rahmat dan menyampaikan salam kesejahteraan bagi setiap hamba yang sedang berdiri atau duduk sambil berzikir.”
Dalam mencari malam al-Qadar, kita perlu meneladani apa yang ditunjukkan Rasulullah kepada kita.
Menjelang sepuluh terakhir Ramadan, Rasulullah berjaga sepanjang malam untuk beribadah dan membangunkan semua anggota keluarganya. Baginda membangunkan keluarganya untuk bersolat pada malam sepuluh terakhir sedangkan baginda tidak berbuat demikian pada malam sebelumnya.
Dalam sebuah hadis diriwayatkan Abu Dzar r.a sabda Nabi, “Bahawasanya Rasulullah melakukan solat bersama mereka (para sahabat) pada malam dua puluh tiga (23), dua puluh lima (25) dan dua puluh tujuh (27) dan disebutkan bahawasanya baginda mengajak (solat) keluarga dan isteri-isterinya pada malam dua puluh tujuh (27) saja.”

Inilah bukti Rasulullah sangat mengambil berat mengenai solat pada malam sepuluh terakhir Ramadan. Sebagai umatnya kita wajar mencontohi Rasulullah dalam menghidupkan sepuluh malam terakhir Ramadan dengan aktiviti ibadah.
Dengan ibadah berterusan tanpa jemu dan penuh tawaduk kepada Allah kita pasti menemuinya. Mengapakah kita perlu bersungguh-sungguh mencari malam al-Qadar itu? Malam lailatul qadar adalah malam pintu langit dibuka, doa dikabulkan dan segala takdir yang terjadi pada tahun itu ditentukan.
Sabda Nabi yang bermaksud, “Barang siapa mendirikan solat pada lailatul qadar kerana iman dan mengharapkan pahala daripada Allah nescaya diampunkan dosanya yang lalu.’ (Hadis riwayat Muttafaq ‘alaih).
Langkah terbaik untuk memenuhi malam sepuluh terakhir Ramadan ialah dengan menunaikan solat, membaca al-Quran, berzikir, berdoa, beristighfar dan bertaubat dengan tulus ikhlas.
Kaedah mencari malam Lailatul Qadar mengikut panduan Iman Al-Ghazali;

*Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Ahad atau Rabu,
malam Lailatul Qadar nya pada malam yang ke-29.
 

*Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Isnin,
malam Lailatul Qadar nya pada malam yang ke-21
 

*Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Selasa atau Jumaat,
malam Lailatul Qadar nya pada malam yang ke-27
 

*Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Khamis,
malam Lailatul Qadar nya pada malam yang ke-25
 

*Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Sabtu,
malam Lailatul Qadar nya pada malam yang ke-23
Sebagai mukmin mengharapkan keredaan Allah, seharusnya kita mempergunakan sebaik mungkin Ramadan lebih-lebih lagi pada sepuluh hari terakhir.
Daripada Jabir r.a Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Apabila tiba malam terakhir Ramadan, menangislah langit, bumi dan para malaikat atas musibah yang menimpa umat Muhammad. Seorang bertanya, Ya Rasulullah, musibah apakah itu? Rasulullah menjawab, Perginya Ramadan kerana sesungguhnya doa di waktu itu dikabulkan, sedekah diterima, kebaikan dilipatgandakan dan azab ditahan.”
Oleh itu, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh pada malam sepuluh terakhir Ramadan mudah-mudahan kita dipertemukan dengan malam penuh berkat itu. Insya-Allah.

MENGHIDUPKAN 10 MALAM TERAKHIR RAMADHAN

1) Mencari malam al-Qadar (kemuliaan)
Maksud Firman Allah : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar. Tahukah kamu, apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Malam itu malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehinggalah terbit fajar” (al-Qadr : 1-5)
Daripada Aisyah RA : “Apabila masuk malam 10 terakhir Ramadhan, baginda SAW menghidupkan malam dengan beribadah, mengejutkan ahli keluarganya bersungguh-sungguh dan uzlah (menjauhi) isteri-isterinya”. (HR Bukhari & Muslim)
Sabda Nabi SAW : “Carilah malam al-Qadar pada malam sepuluh terakhir Ramadhan”. (HR Bukhari & Muslim)
Sabda Nabi SAW : “Carilah malam al-Qadar pada malam-malam ganjil sepuluh terakhir Ramadhan” (HR Bukhari)
Aisyah bertanya Nabi SAW :  “Wahai Rasulullah, jika aku mengetahui tibanya malam al-Qadar, apakah yang kubaca ketika itu?” Nabi menjawab : Berdoalah :أللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memberi maaf, maka maafkanlah aku” 
(HR at-Tirmizi, an-Nasa’ie, Ibnu Majah dll)
2) I’tikaf
I’tikaf ertinya mendampingi masjid untuk mentaati Allah SWT. Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan i’tikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan sehingga wafat.
Berdasarkan praktik Rasulullah SAW itu, menunjukkan kelebihan dan keutamaannya mengatasi malam-malam yang lain.
Bahkan baginda turut membangunkan ahli keluarganya agar turut beri’tikaf bersama-sama.
Syarat sah i’tikaf :
- Islam, berakal, tidak junub, bersih daripada haid dan nifas;
- Niat – i’tikaf adalah ibadah yang tidak sah melainkan dengan niat;
- Dilakukan di dalam masjid.
Perkara yang membatalkan iktikaf
- Keluar masjid tanpa hajat dengan sengaja;
- Murtad;
- Hilang akal kerana gila atau mabuk;
- Datang haid atau nifas;
- Jimak;
Perkara yang sunnat dilakukan ketika i’tikaf
- Memperbanyakkan ibadah sunnat seperti solat, membaca al-Quran, tasbih, tahmid, takbir, istighfar, solawat dan doa.
- Begitu juga menghadiri majlis ilmu, mengulangkaji kitab hadith, tafsir, sirah Nabi dan sebagainya.
3) Solat-Solat Sunnat
a) Solat TahajjudMaksud Firman Allah : Dan pada sebahagian malam, bersolat tahajjudlah kamu, sebagai satu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji”. (al-Isra : 79)
Solat tahajjud ialah solat malam sekurang-kurang 2 rakaat yang didirikan selepas bangun tidur, walaupun tidurnya sebentar.
Masanya selepas solat Isyak sehinggalah masuk waktu subuh. Tetapi waktu paling utama ialah pada akhir malam atau waktu sahur.
b) Solat TasbihIa berdasarkan hadith panjang yang diriwayatkan Ibnu Abbas, berkenaan tawaran Nabi kepada pakciknya Abbas bin Abdul Muttalib, iaitu solat yang memberi keampunan 10 jenis dosa :
- Dosa terdahulu dan terkemudian;
- Dosa lama dan baru;
- Dosa sengaja atau tidak;
- Dosa besar atau kecil;
- Dosa tersembunyi atau kelihatan.
Caranya sama seperti solat biasa. Solat tasbih didirikan pada waktu siang dengan 4 rakaat 1 salam, manakala waktu malam didirikan dengan 4 rakaat 2 salam.
Hanya diselangi dengan tasbih seperti pembahagian berikut :
- Selepas Fatihah dan surah – 15 kali tasbih;
- Ketika rukuk – 10 kali tasbih;
- Setelah bangkit dari rukuk – 10 kali tasbih;
- Dalam sujud pertama – 10 kali tasbih;
- Semasa duduk antara 2 sujud – 10 kali tasbih;
- Dalam sujud kedua – 10 kali tasbih;
- Dalam duduk rehat bangun sujud sebelum berdiri rakaat kedua – 10 kali tasbih
Jumlahnya 75 kali tasbih satu rakaat bersamaan 300 tasbih dalam 4 rakaat. Bacaan tasbihnya ialah :سبحان الله والحمد لله ولآإله إلا الله والله أكبر
c) Solat TaubatApabila seseorang hendak bertaubat, disunnatkan supaya mendirikan solat 2 rakaat ini.
Sabda Nabi SAW : Seorang lelaki yang melakukan satu dosa kemudian ia bangun berwudhu, bersolat 2 rakaat, kemudian ia memohon ampun kepada Allah, maka Allah akan mengampunkan dosanya”. Lalu baginda membaca ayat dari Surah Ali Imran ayat 135-136.
Kaifiatnya sama seperti solat biasa.
f) Solat HajatSolat hajat boleh didirikan pada waktu siang atau malam.
Apabila kita berhajat terhadap sesuatu urusan, bermohonlah kepada Allah SWT, dan yang paling baik melalui solat hajat sekurang-kurangnya dua rakaat.
Tiada had jumlah rakaat untuk melakukannya. Begitu juga tiada kaifiat khusus ditetapkan.
g) Solat WitirWitir ertinya ganjil. Ia dilakukan sebagai penutup bagi solat malam. Boleh dikerjakan 1, 3, 5, 7, 9, atau 11 rakaat.
Waktunya selepas solat isyak dan berakhir dengan waktu subuh. Witir dalam bulan Ramadhan disunnatkan dengan berjamaah.
Sekiranya solat witir sudah dilakukan pada awal malam, dan kemudian bangun lagi pada akhir malam untuk mendirikan solat sunnat lain, maka tidak perlu lagi mendirikan witir dihujungnya kerana Nabi memerintahkan witir hanya dilakukan sekali sahaja pada setiap malam.
Sabda Rasulullah SAW : Sesungguhnya Allah telah membantu kamu dengan satu solat yang lebih baik bagi kamu berbanding harta yang banyak, iaitu solat witir. Dirikanla di antara solat isyak sehingga terbit fajar” (HR Abu Daud, Ibnu Majah & at-Tirmizi)
4) Membaca al-Quran
- Membaca al-Quran di dalam solat adalah waktu yang utama;
- Jika membaca di luar solat, waktu paling utama ialah pada waktu malam. Waktu selepas tengah malam menjadi lebih utama berbanding awal malam;
- Jika membaca pada waktu siang, waktu paling utama ialah selepas solat subuh;
- Hari-hari terbaik membaca al-Quran ialah pada hari Jumaat, Isnin dan Khamis, hari arafah, 10 hari pertama bulan Zulhijjah dan 10 hari terakhir bulan Ramadhan;
- Bulan terbaik membacanya ialah bulan Ramadhan.
Adab Membaca al-Quran- Ikhlas kerana Allah, bukan kerana yang lain;
- Membersihkan mulut sebelum membaca;
- Khusyuk, tadabbur, dan rendah diri;
- Sunnat pada ayat yang seharusnya menangis;
- Melihat mashaf lebih utama daripada hafalan jika itu lebih mendatangkan khusyuk;
- Menyaringkan suara lebih utama jika tidak menimbulkan riak atau mengganggu orang;
- Memperindahkan suara bacaan;
- Membaca dengan menjaga hukum tajwid;
- Menjaga batas-batas waqaf dan ibtida’;
Kelebihan Membaca al-Quran
Hadith berkenaannya sangat banyak. Antaranya sabda Nabi SAW : Sesiapa yang membaca al-Quran 50 ayat sehari semalam, ia tidak termasuk orang yang lalai. Sesiapa membaca 100 ayat, ia termasuk orang yang patuh kepada Allah. Sesiapa membaca 200 ayat, ia tidak diminta keterangan oleh al-Quran pada hari qiamat. Sesiapa membaca 500 ayat, dicatat baginya pahala yang banyak”. (HR Ibnu Sunni)
5) Solawat keatas Nabi SAW
Maksud Firman Allah : Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya bersolawat untuk Nabi, Wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah solawat dan salam yang sempurna kepadanya.” (al-Ahzab : 56)
Sabda Nabi SAW : “Manusia paling utama bersamaku pada hari kamat ialah orang yang paling banyak bersolawat kepadaku”. (HR at-Tirmizi)
“Seseorang amat hina, jika namaku disebut di sisinya, ia tidak bersolawat kepadaku”(HR at-Tirmizi)
Sekurang-kurang solawat ialah :أللهم صل على محمد
6) Doa dan Zikir
Maksud sabda Nabi SAW : Waktu paling hampir bagi Tuhan kepada seorang hamba ialah pada bahagian malam yang akhir. Jika kamu sanggup berada di antara orang yang berzikir kepada Allah pada saat itu, maka buatlah”. (HR Abu Daud & at-Tirmizi)
Sesungguhnya pada malam itu ada satu saat, tidaklah ditemui oleh seorang muslim yang berdoa kepada Allah memohon kebaikan dunia dan akhirat, melainkan permohonannya diterima. Hal ini berlaku setiap malam” (HR Muslim)
Nabi ditanya : Doa manakah yang paling diperhatikan Allah? Baginda menjawab : “Doa pada tengah malam dan selepas solat fardhu”.
Dua kalimah, ringan di lidah, berat di timbangan dan disukai Tuhan iaitu : Subhanallah wabihamdihi, subhallahil ‘azim”
“…bacaan alhamdulillah memenuhi timbangan amal, subhanallah dan alhamdulilah kebaikannya sepenuh langit dan bumi..” (HR Muslim)
Dikeluarkan oleh : Syukbah Dakwah, Masjid Negeri Sabah
Untuk Program Qiyamullail Ramadhan 1429/2008

ADAKAH SAH I'TIKAF DI SURAU?

ADAKAH SAH I'TIKAF DI SURAU?

Soalan: Bolehkah i’tikaf di surau? Adakah sah i’tikafnya?
Jawapan: Mungkin ramai dalam kalangan kita yang masih keliru mengenai tempat untuk menunaikan i’tikaf. Tambahan pada bulan puasa ini, ramai yang ingin mengambil peluang untuk beri’tikaf di masjid bagi menumpukan perhatian terhadap ibadah.
Hal ini kerana, untuk menumpukan ibadah di rumah, sudah pasti suasananya amat mencabar. Kita semua sedia maklum akan cabarannya seperti TV, media sosial, makanan, urusan kerja, anak-anak, suami atau isteri dan sebagainya.
Namun, yang menjadi persoalan ramai. Tidak ramai dari kalangan kita yang rumahnya berdekatan dengan masjid, tetapi yang dekatnya adalah surau perumahan atau sebagainya, kerana yang difahami oleh orang ramai bahawa i’tikaf harus dilaksanakan di masjid. Maka ramai orang tersilap faham, ditambah lagi jarak antara rumah dan masjid amat jauh.
Justeru, adakah untuk melaksanakan i’tikaf mesti dilakukan di masjid atau boleh dilakukan di tempat-tempat yang lain. Oleh itu, untuk memahami perkara ini dengan lebih lanjut, boleh ikuti penerangan yang jelas di bawah.

Pertama, ulama sepakat bahawa i’tikaf bagi lelaki harus dilakukan di masjid
Allah SWT memberikan aturan bahawa i’tikaf harus dilakukan di masjid dalam firman-Nya,
وَلا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ
“Janganlah kamu menggauli isteri kamu ketika kamu sedang beri’tikaf di masjid.” (Al-Baqarah: 187)
Ayat ini merupakan dalil, syarat sah i’tikaf mesti dilakukan di masjid.
Imam Al-Qurthubi mengatakan,
أجمع العلماء على أن الاعتكاف لا يكون إلا في مسجد
“Ulama bersepakat bahawa i’tikaf hanya boleh dilakukan di dalam masjid.” (Tafsir al-Qurthubi, 2/333)
Keterangan yang sama juga disampaikan oleh Ibnu Rusyd,
وأجمع الكل على أن من شرط الاعتكاف المسجد ، إلا ما ذهب إليه ابن لبابة من أنه يصح في غير مسجد
“Semua ulama sepakat bahawa di antara syarat sah i’tikaf mesti dilakukan di masjid, kecuali pendapat Ibnu Lubabah yang mengatakan, boleh i’tikaf di selain masjid.” (Bidayah al-Mujtahid, hlm. 261)

Kedua, istilah masjid dan surau
Menurut bahasa, masjid [arab: مسجد] diambil daripada kata sajada [arab: سجد], yang membawa maksud bersujud. Disebut masjid, kerana ia menjadi tempat untuk bersujud. Kemudian makna ini meluas, sehingga masjid dimaksudkan sebagai tempat berkumpulnya kaum muslimin untuk melaksanakan solat.
Imam az-Zarkasyi mengatakan,
ولَمّا كان السجود أشرف أفعال الصلاة، لقرب العبد من ربه، اشتق اسم المكان منه فقيل: مسجد، ولم يقولوا: مركع
“Perbuatan sujud adalah gerakan yang paling mulia dalam solat, hal ini kerana dekatnya seorang hamba kepada Tuhannya (ketika sujud), maka nama tempat solat diambil daripada kata ini, sehingga orang menyebutnya, ‘Masjid’, dan mereka tidak menyebutnya, Marka’ (tempat rukuk).”  (I’lam as-Sajid bi Ahkam Masajid, az-Zarkasyi, hlm. 27, dinukil daripada al-Masajid, Dr.Wahf al-Qahthani, hlm. 5).
Kemudian Imam az-Zarkasyi menyebutkan makna masjid menurut istilah yang difahami kaum muslimin (urf),
ثم إن العُرف خصص المسجد بالمكان المهيّأ للصلوات الخمس، حتى يخرج المُصلّى المجتمع فيه للأعياد ونحوها، فلا يُعطى حكمه
“Kemudian, masyarakat muslim memahami bahawa kata masjid hanya khusus untuk tempat yang disiapkan bagi solat 5 waktu. Sehingga tanah lapang tempat berkumpul untuk solat eid atau seumpamanya, tidak dihukumi sebagai masjid.” (I’lam as-Sajid bi Ahkam Masajid, az-Zarkasyi, hlm. 27, dinukil daripada al-Masajid, Dr.Wahf al-Qahthani, hlm. 5)
Berdasarkan keterangan di atas, secara istilah syariah, surau termasuk dalam kategori masjid. Ini kerana, surau merupakan tempat yang disediakan khusus untuk solat secara berjemaah.
Oleh itu, sebagai catatan, bahawa kata masjid dalam istilah fikah ada dua,
  1. Masjid jami’ ialah masjid yang digunakan untuk solat 5 waktu dan solat jumaat
  2. Masjid ghairu Jami’ ialah masjid yang digunakan untuk solat 5 waktu saja, dan tidak digunakan untuk solat jumaat.
Masjid jenis  kedua ini, di tempat kita disebut sebagai surau.
Ketiga, masjid yang boleh digunakan untuk  i’tikaf
Ibnu Rusyd menyebutkan, ada tiga pendapat ulama tentang batasan masjid yang boleh digunakan untuk i’tikaf.
  1. I’tikaf  hanya boleh dilakukan di tiga masjid, iaitu di Masjidil Haram, Masjid Nabawi, dan Masjidil Aqsa. Ini merupakan pendapat sahabat Hudzaifah bin Yaman r.a. dan seorang tabiin Said bin al-Musayib. Ini adalah pendapat yang lemah. Kerana tidak ada dalil bahawa i’tikaf mesti di tiga masjid tersebut.
  2. I’tikaf  hanya boleh dilakukan di masjid jami’, iaitu masjid yang digunakan untuk solat jumaat.
  3. I’tikaf boleh dilakukan di semua masjid, baik jami’ mahu pun bukan jami’. Ini merupakan pendapat majoriti ulama, di antaranya as-Syafii, Abu Hanifah, at-Tsauri, dan pendapat masyhur daripada Imam Malik.
(Bidayah al-Mujtahid, hlm. 261).
Justeru, pendapat yang lebih kuat dalam hal ini adalah pendapat majoriti ulama bahawa tempat yang boleh digunakan untuk i’tikaf tidak semestinya di masjid jami’. Namun boleh dilaksanakan di  semua jenis masjid dan surau, meskipun tidak digunakannya untuk solat jumaat.
Hal ini kerana, Allah SWT menyebut dalam al-Quran secara umum iaitu, ”ketika kamu sedang i’tikaf di masjid.” tanpa ada batasan, baik masjid jami’ mahu pun yang bukan jami’. Sehingga i’tikaf di surau hukumnya boleh dan sah.