Wednesday, December 6, 2017

INDAHNYA SEDEKAH, REZEKI TAK AKAN PUTUS

Kelmarin aku berjumpa dengan seorang ahli perniagaan. Cadangnya cuma nak dengar kisah jatuh bangun perjalanan beliau berniaga. Rupanya Tuhan mahu beri aku pengajaran yang betul-betul berbekas dalam jiwa.

"Maaflah hari tu tak jadi jumpa, kereta saya rosak. Habis kena repair enjin," kata beliau.

"Wah, teruknya. Macam mana boleh rosak tu?"

Beliau terdiam sebentar.

"Ada kisah di sebaliknya. Allah nak beri peringatan."

Aku meneguk air kopi yang baru dihidangkan sambil memasang telinga.

"Ini saya beritahu sebagai pengajaran saja ya. Bukan untuk saya menunjuk-nunjuk," beliau memulakan cerita.

"Saya sudah sekian lama menyumbang wang untuk sebuah surau. Saya bayarkan bil elektrik surau tersebut. Dari puluhan ringgit sebulan hinggalah jadi seribu lebih sekarang. Setiap bulan tak pernah tinggal, selama beberapa tahun."

"Tapi itulah, kita rasa kita ini pandai."

"Tempoh hari saya beritahu pada pengerusi surau terbabit yang saya nak berhenti menyumbang sekejap. Saya nak rehat 6 bulan. Yalah, dalam keadaan ekonomi sekarang, saya fikir saya nak jimat sedikit duit. Pengerusi itu pun kata tak mengapa, dia akan cuba bayar bil elektrik itu dari duit tabung masjid dan sumbangan yang lain."

"Selang beberapa hari, kereta MPV saya mula meragam. Lampu indicator menyala. Saya rasakan mungkin masalah enjin. Bila bawa ke mekanik, dia kata kalau nak betulkan kena RM7000. Saya biarkan saja, tak mahu repair lagi."

"Suatu hari, saya sedang memandu. Tiba-tiba perasan suhu enjin naik, tak lama kemudian keluar asap. Saya terus berhentikan kereta. Panggil tow truck untuk bawa ke bengkel berdekatan."

"Awak tahu berapa saya kena untuk baiki? RM10,000!"

Tercengang aku dengar. Aduh, banyaknya nak kena bayar. Kalau aku kena memang menangis.

"Bila jadi macam tu, terus saya teringat pada sumbangan surau tadi. Itu perkara pertama yang terlintas dalam kepala saya."

"Kononnya saya nak jimat 6 bulan punya bil, Tuhan ambil dari saya lagi banyak dari itu."

"Kita tak sedar, rupanya selama ini duit kita masuk, kita mampu bayar bil sana sini, semuanya Tuhan yang bagi izin. Kita ingat kita pandai, konon nak jimat, padahal Tuhan yang bagi kecukupan itu untuk kita."

Beliau berhenti seketika untuk menghirup kopi, kemudian menyambung,

"Tapi saya bersyukur, sebab Tuhan cuma ambil RM10,000. Bayangkan apa yang terjadi kalau saya ditimpa kemalangan akibat kerosakan enjin tadi? Mungkin belanjanya lebih besar, mungkin saya atau ahli keluarga cedera. Tentu lebih teruk."

"Tuhan cuma ingin menyedarkan."

"Apa pengajaran yang kita dapat dari kisah saya ini? Kalau awak dah biasa buat sumbangan atau sesuatu amalan, jangan tinggalkan. Jangan rasa pandai, nak rehat atau nak relaks kejap. Jangan."

"Setakat mana yang awak mampu bagi, buat saja. Sikit pun tak apa. Yang penting jangan dihentikan.

"Jangan takut tak cukup atau tak mampu. Tuhan yang cukupkan dan Tuhan yang beri awak kemampuan. Kita mungkin ada buat pelbagai pengiraan matematik, namun hakikatnya rezeki ini sesuatu yang kita tak boleh jangka. Bila-bila masa Tuhan boleh beri dan ambil."

Fuh, tersandar aku mendengar kisah beliau.

Aku teringat amalan-amalan yang aku buat. Kadang rajin kadang malas. Betul, bila dah selalu buat, sampai satu masa kau akan rasa letih. Kau rasa nak rehat sekejap. Konon nanti bila dah puas rehat, boleh sambung balik.

Bila dengar cerita beliau ini, aku terus insaf. Tak jadi aku nak bermalas-malasan dalam memberikan 'hadiah' kepada Tuhan.

Ya, kita ingat kita ini cukup pandai. Waktu tak ada duit, merayu berhari-hari minta bantuan Tuhan. Bila Tuhan sudah bagi senang sedikit, mulalah nak rehat.

Kau lupa, yang izinkan kau untuk beribadat itu Tuhan. Yang izinkan kau untuk bersedekah itu juga Tuhan. Kerja kau, buat saja. Tuhan akan uruskan yang lain-lain. Kau rasa tak cukup, nanti Tuhan akan tambah.

Dia macam ini, duit kau dan rezeki kau yang hakiki, Tuhan dah asingkan siap-siap, langsung tak luak pun. Kau tak perlu risau yang itu. Sekarang ini Tuhan bagi kau lebihan duit, hanya untuk kau sedekah dan dapat pahala percuma.

Tapi kalau begitu pun kau rasa penat dan nak berhenti, kalau duit lebihan itu pun kau rasa kau yang punya, maka wajarlah Tuhan bagi peringatan.

Sungguh aku insaf.

Aku harap kau pun dapat pengajaran juga dari kisah ini. Sama-samalah kita beringat. Dalam harta kita, ada juga hak untuk orang lain. Sikit kongsi cara sikit, banyak kongsi cara banyak, namun jangan ditinggal terus.

Selamat beramal.

No comments:

Post a Comment