ibadat korban adalah ibadat sunat yang dituntut atau sunat muakkad
MENURUT Dr Yusuf Al-Qaradhawi ibadat korban ialah sunat muakkad (dituntut) menurut kebanyakan mazhab fiqh.
Dalam mazhab Imam Abu Hanifah, ia dipandang sebagai ibadat wajib. Wajib di sini ialah sesuatu yang lebih ringan tuntutannya daripada fardu dan lebih berat daripada sunnah. (Imam Abu Hanifah membezakan antara fardu dan wajib, tidak sebagaimana imam lain).
Hukum wajib ini bermakna sesiapa yang meninggalkannya dikira berdosa sekiranya mereka daripada golongan berkemampuan dan berkedudukan.
Diriwayatkan satu hadis marfu' daripada Abu Hurairah, maksudnya : "Sesiapa yang mempunyai kelapangan, namun tidak mengerjakan ibadat korban, maka jangan sesekali mendekati musalla kami." (Hadis riwayat Al-Hakim)
Juga diriwayatkan bahawa apabila beliau ditanya mengenai ibadat korban, beliau menjawab: "Itulah sunnah daripada bapamu, Ibrahim." (Hadis riwayat At-Tarmizi dan Al-Hakim)
Oleh itu, ibadat korban dikira sama ada sunnah muakkad atau wajib. Mazhab lain, selain Imam Abu Hanifah menghukumkan makruh jika seseorang yang mempunyai kelapangan tidak mengerjakan ibadat korban.
Menurut mazhab Imam Al-Syafie, hukumnya sunat muakkad iaitu sebagai ibadat tambahan yang selalu dikerjakan oleh Rasulullah pada masa hayatnya. Baginda dilaporkan pernah berkorban dua biri-biri besar bagi diri, keluarga dan seluruh umatnya yang tidak sempat atau tidak mampu berkorban.
Bagaimanapun kebanyakan ulama berpendapat korban hanya sunat.
Seseorang tidak dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah berkorban seumur hidupnya. Jika tidak berkorban kerana tidak berkemampuan, anggaplah bahawa Nabi berkorban bagi pihak umatnya.
Berpandukan amalan korban yang dilakukan oleh Rasulullah yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak diri, keluarga dan umatnya, maka ulama berpendapat memadai jika seorang ketua dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi anak-anaknya.
Bagi yang mampu digalakkan memilih ternakan yang terbaik untuk dikorbankan. Rasulullah setiap kali berkorban memilih ternakan yang baik, sihat dan gemuk.
Muslim meriwayatkan daripada Anas mengatakan Rasulullah saw menyembelih korban dengan dua kibas yang terbaik dengan tangannya sendiri dengan membaca Bismillahi Allah dan bertakbir dan meletakkan kakinya di atas rusuk di sebelah tengkuk kedua-dua kibasnya itu.
Ada syarat ditetapkan iaitu ternakan yang hendak dikorbankan mesti cukup umur, sihat dan sempurna sifatnya yakni tidak mengalami kecacatan.
Haiwan ternakan betina pula perlu dipastikan tidak mengandung ketika hendak dikorbankan. Bagaimanapun, korban tetap sah jika selepas disembelih didapati haiwan ternakan itu sedang mengandung.
Mengikut amalan sunnah dalam pembahagian daging korban ialah satu pertiga untuk diri dan keluarga, satu pertiga untuk jiran tetangga manakala satu pertiga untuk golongan fakir dan miskin.
Namun seandainya disedekahkan semuanya kepada orang lain, itu lebih baik dan sempurna. Bagaimanapun, digalakkan kepada orang yang berkorban untuk mengambil sedikit daging korban untuk dirinya dan keluarga sebagai tabarruk.
Allah mensyariatkan waktu untuk melakukan ibadat korban ialah selepas solat hari raya pada 10 Zulhijjah. Ia juga boleh dilakukan pada tiga hari selepasnya iaitu hari yang dinamakan sebagai hari tasyrik.
Ada masyarakat beberapa golongan yang silap faham, lalu melakukan ibadat korban pada malam hari raya. Ini ialah satu amalan yang tidak menepati sunnah dan jika dilakukan juga, sembelihan itu tidak dikira sebagai ibadat korban.
Begitu juga dalam permasalahan pembahagian daging korban. Masih ada amalan di mana daging korban dibahagi tujuh, manakala bahagian tertentu (biasanya kepala) diperuntukkan kepada tukang sembelih sebagai upah. Ini sama sekali tidak dibenarkan. Setiap bahagian daging korban adalah sedekah dan sedekah sama sekali tidak boleh menjadi upah.
Untuk tujuan upah, sepatutnya pihak yang berkongsi korban boleh membayar lebih sedikit daripada harga asal haiwan itu
No comments:
Post a Comment